Pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat prihatin dengan situasi dan perkembangan semasa  serta memandang serius peningkatan kes positif COVID-19  di seluruh Malaysia. 

Merujuk kepada pemakluman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 29 Oktober 2020 yang telah menyenaraikan Johor Bahru sebagai Zon Merah (berbahaya) wabak COVID-19, Pengurusan Universiti memutuskan untuk semua perkhidmatan kecuali yang melibatkan perkhidmatan perlu (essential services), staf dikehendaki melaksanakan bekerja dari rumah/ Work From Home (WFH) bermula 1 November hingga 14 November 2020. Ini melibatkan kampus UTM Johor Bahru sahaja. Staf di kampus Kuala Lumpur diminta merujuk kepada Pekeliling Pentadbiran UTM Kuala Lumpur Bil. 1/2020.

Staf juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan semasa bekerja dari rumah seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Berdasarkan situasi semasa, penetapan had bilangan staf yang dibenarkan untuk WFH dinaikkan daripada 25% kepada 75%. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada situasi semasa atas budi bicara Ketua Jabatan dengan kebenaran Universiti. Staf perlu merekod kehadiran waktu kerja melalui GPS Check-In/Out di aplikasi UTMSmart. Kegagalan untuk merekodkan kehadiran adalah merupakan satu kesalahan dan tindakan tegas boleh dikenakan berdasarkan peraturan sedia ada. 

Staf yang terlibat dengan essential services perlu mematuhi Panduan Keluar Masuk Kampus dan warga Universiti adalah diminta untuk sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai WFH, sila hubungi Jabatan Pendaftar melalui talian 0167300969 (UTMJB – Puan Saidatul Akmal Abdul Hami), 0126620515 (UTMKL – Puan Nurulhaslinda Muhd Sidek) atau email kepada bsm@utm.my .

Sekian, sila ambil maklum.

PEJABAT HAL EHWAL KORPORAT
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

31 OKTOBER 2020