GERIK 9 Disember : Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak dan beberapa agensi kerajaan, swasta dan NGO buat julung kalinya telah mengadakan Persidangan Kebangsaan Royal Belum 2014. Persidangan dua hari yang diadakan di Banding Lakeside Inn, Gerik telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Persidangan ini menjadi platform menemukan tokoh-tokoh terkemuka di bidang perhutanan, para saintis, penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar dan ramai lagi untuk membincangkan isu-isu dan langkah-langkah pemeliharaan ekosistem hutan tropika serta hal-hal yang berkaitan..

UTM amat prihatin terhadap usaha ke arah memastikan alam semulajadi tetap terpelihara. Prinsip pembangunan mampan perlu diamalkan di mana pembangunan dan alam sekitar dibangun secara seimbang untuk mencapai kualiti hidup yang menyeluruh.

Royal Belum merupakan sebuah hutan dara yang tertua di dunia dan merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung. Kehadiran kepelbagaian spesis tumbuhan dan haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Royal Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa, unik dan penting.

Selari dengan ini, UTM dengan kerjasama beberapa universiti tempatan dan agensi-agensi utama telah mengambil inisiatif dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi di kawasan Royal Belum. Kepakaran yang ada oleh penyelidik-penyelidik ini amatlah diperlukan terutamanya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian biodiversiti. Di samping itu dapat mengenalpasti isu-isu dan masalah dalam meningkatkan tahap pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat Orang Asli di kawasan Royal Belum.

Prof. Datuk Wahid berharap persidangan ini akan menjadi pencetus kepada usaha UTM dalam mempromosikan bidang penyelidikan secara multi disiplin di mana antara matlamat utama adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan kawasan Royal Belum. Persidangan ini secara tidak langsung akan dapat mempromosikan kawasan Royal Belum sebagai salah satu destinasi percutian yang sangat menarik bukan sahaja kepada pelancong dalam tetapi juga luar negara. Ini secara tidak langsung akan dapat memberikan kesan yang positif terhadap ekonomi masyarakat setempat khususnya di negeri Perak.

 

IMG_2966_edit (2)

IMG_2847_edit

IMG_2956_edit

IMG_2920_edit

source: UTMNewsHub