Penubuhan ERT

Peserta Kursus Pengurusan Tindakan Kecemasan UTM 2014 ert utm

PENGENALAN

Kecemasan adalah suatu keadaan yang terjadi secara tiba-tiba dan membawa kesan yang buruk bukan sahaja kepada organisasi, malah kepada masyarakat sekitarnya. Kecemasan kerap kali terjadi semasa organisasi tidak bersedia sepenuhnya untuk menghadapinya sekaligus menjadikan keadaan semakin teruk. Kecemasan memerlukan tindakbalas segera kerana dalam waktu kecemasan, insiden yang kecil boleh bertukar menjadi sebuah krisis, jika tindakan yang betul tidak diambil untuk mengawalnya. Dengan perkataan lain, pengurusan tindakan kecemasan melibatkan proses persediaan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan, mengurangkan atau menghadkan impak bertindakbalas terhadap keadaan atau peristiwa yang kemungkinannya terjadi, dan pemulihan selepas kejadian kecemasan. Keperluan menyediakan pengurusan tindakan kecemasan di tempat kerja adalah diwajibkan di bawah perundangan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Walaupun tidak disebut secara langsung di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), tetapi Bahagian IV, Seksyen 15 ada menerangkan sesuatu perkiraan untuk diwujudkan supaya tempat kerja dan orang-orangnya adalah selamat semasa bekerja atau berada di tempat kerja.     JUSTIFIKASI ERT Pengurusan tindakan kecemasan bagi menghadapi sebarang kecemasan yang berkemungkinan berlaku di Universiti ini belum pernah dirangka serta diwujudkan. Maka, atas kesedaran kepentingan serta keperluannya selaras dengan kehendak perundangan KKP (Akta 514) maka pihak Unit OSHE UTM telah menwujudkan satu Jawatankuasa Tindakan Kecemasan peringkat universiti telah diwujudkan. Antara peranan jawatankuasa ini adalah untuk merangka dan membangunkan sistem pengurusan tindakan kecemasan bagi memudah dan melancarkan situasi kecemasan jika ia berlaku. Disamping itu, menyedia dan mengadakan program-program yang berkaitan, seperti latihan dan sebagainya. Jawatankuasa ini dianggotai oleh personel dari pelbagai bahagian dan unit mengikut kemudahan atau fasiliti yang dimiliki serta bidang fungsi pengurusan yang diuruskan. Antaranya, Bahagian Keselamatan, Pejabat Harta Bina, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni, Bahagian Hal Ehwal Perundangan, Pejabat Bendahari dan sebagainya. Selain daripada itu, individu-individu yang mempunyai kepakaran yang speksifik turut juga diberi peluang menganggotai jawatankuasa ini. Kesemua bahagian dan unit serta individu yang terlibat diletakkan di bawah satu pasukan yang dinamakan sebagai Pasukan Tindakan Kecemasan UTM. Ia diketuai oleh seorang Insiden Komander. Antara fungsi pasukan ini adalah untuk memudah dan melancarkan pengurusan tindakan kecemasan yang melibatkan tiga fasa kecemasan, iaitu

  1. Fasa Pertama: sebelum kecemasan berlaku – masa perancangan dan persediaan bagi menghadapi kecemasan.
  2. Fasa Kedua: semasa kecemasan berlaku – tindakbalas segera untuk mengawal kecemasan
  3. Fasa Ketiga: setelah kecemasan berlaku – kerja-kerja pemulihan dan pembersihan

OBJEKTIF Matlamat Pelan Tindakan Kecemasan ini adalah untuk mengurangkan punca kecemasan.Selain itu juga mengawal atau menghadkan sebarang kemusnahan.Namun matlamat Pelan Tindakan Kecemasan yang paling utama ialah menyelamatkan nyawa.Oleh itu beberapa perkara perlu diberikan keutamaan, iaitu

  1. Keselamatan nyawa – sekiranya terdapat situasi yang melibatkan ramai mangsa dan banyak kecederaan, dan sumber menyelamat adalah terhad, keutamaan hendaklah diberikan kepada perkhidmatan pertolongan cemas
  2. Keselamatan penyelamat – penyelamat seharusnya tidak meletakkan diri di dalam keadaan yang berisiko
  3. Menjaga keselamatan asset,harta benda dan reputasi university
  4. Memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar