JOHOR BAHRU, 11 Nov. –  Setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) wajip mempunyai piagam pelanggan masing-masing untuk dijadikan panduan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Piagam Pelanggan ataupun Client’s Charter adalah satu bentuk garis panduan bagi membolehkan PTJ memberi perkhidmatan yang cepat, cekap dan menepati kemahuan pelanggan masing-masing.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata selain garis panduan kepada PTJ dalam melaksanakan tugasan harian mereka, piagam pelanggan juga merupakan janji pusat berkenaan kepada pelanggan masing-masing.

Sesetengah jabatan didapati telah menetapkan norma masa dan standard kualiti bagi keluaran atau perkhidmatan yang mereka sediakan tetapi tidak dijadikan sebagai satu janji bertulis dan dipamerkan untuk makluman pelanggan. 

“Oleh yang demikian PTJ perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam menetapkan norma masa dan standard kualiti mereka selaras dengan Piagam Pelanggan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Bersama Pelanggan (HBP) UTM 2021 secara dalam talian yang disiarkan secara langsung kepada semua staf di kampus Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh.

Prof. Fauzi berkata jika staf gagal menunaikan setiap janji yang diletakkan dalam piagam ini maka pelanggan akan berasa kecewa dan mula meragui integriti kakitangan bertugas.

“Ini akan memberikan kesan yang amat buruk di mana pelanggan yang menilai kita selama ini telah kehilangan kepercayaan sekaligus mencemarkan imej UTM itu secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Mengulas tentang pelaksanaan HBP UTM 2021, Prof Fauzi berkata program ini adalah platform untuk mempromosikan Perkhidmatan Berprestasi Tinggi UTM.

“HBPUTM 2021 menggunakan platform Hari Kualiti Sedunia sebagai kempen untuk mempromosikan pengurusan kualiti sejajar dengan aspirasi perkhidmatan berpretasi tinggi universiti yang sering dihebahkan.

Dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan berprestasi tinggi, setiap staf adalah digesa untuk menunjukkan sikap profesional kerana kakitangan universiti ini diumpamakan sebagai Duta Kualiti UTM kepada pelanggan,” katanya lagi.

Sebanyak 22 buah kaunter yang melibatkan pelbagai PTJ dalam UTM telah dibuka secara dalam talian bagi membolehkan pelanggan membuat rujukan mengenai pelbagai permasalahan yang dihadapi.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Bersama Pelanggan (HBPUTM) 2021