JOHOR BAHRU, 3 Jan. — Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai Naib Canselor UTM yang baharu.

Antara isi pengucapan beliau ialah, pengekalan status Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Universiti Penyelidikan atau ‘Research University’ (RU) akan menjadi agenda utama yang akan diteruskan oleh beliau.

Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, selain menaikkan reputasi universiti untuk menjadi salah satu institusi pengajian tinggi yang unggul di negara ini, tidak dinafikan juga gelaran sebagai universiti penyelidikan ini membantu kita untuk memperolehi geran khas RU.

Status RU ini juga adalah menjadi simbol perjuangan Naib-naib Canselor yang terdahulu seperti Prof. Ir Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan juga Prof. Ir. Dr Wahid Omar yang berusaha keras dalam mendapatkan dan juga mempertahankan gelaran ini,” katanya lagi.

Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail ketika tiba di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengumumkan pelantikan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) tersebut sebagai Naib Canselor yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2020 selama tiga tahun.

Berucap kepada staf Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) pada hari pertama memulakan tugas sebagai Naib Canselor universiti itu, Prof. Fauzi berkata staf UTM seharusnya bertanggungjawab dalam mengekalkan status keramat itu.

Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail melakukan sesi ‘slide-in’ sebagai gimik permulaan tugas sebagai Naib Canselor UTM yang baharu

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr Hamdan Hj Ahmad, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin, Bendahari UTM, Abu Bakar Mohd Salleh dan Ketua Pustakawan UTM, Noraziah Sharuddin serta ahli JPU dan pegawai tertinggi UTM.

Selain mengekalkan status sebagai RU, penggunaan sumber manusia yang optima dan berkualiti juga akan diperkasakan dalam menjalankan operasi harian UTM.

“Staf adalah aset terpenting yang tidak harus dipandang enteng peranannya dalam pengurusan dan perjalanan harian universiti serta haruslah diberikan perhatian yang serius dalam hal ehwal pembangunan dan kebajikannya.

Antara perkara yang menjadi keutamaan dalam pembangunan staf adalah aspek kenaikan pangkat, pemilihan untuk menjawat jawatan yang tepat serta penerapan budaya kerja yang lebih berkualiti,” katanya lagi.

Menurutnya lagi penerapan budaya kerja yang positif kepada staf adalah penting dalam membina imej organisasi yang lebih unggul dan berkualiti.

“Budaya kerja staf melambangkan budaya dan cara bekerja dalam sesebuah organisasi itu.  Walaupun ianya lebih bersifat objektif dan persepsi semata-mata, budaya kerja yang positif di kalangan staf perlulah dipupuk serta diberikan perhatian yang sewajarnya dalam usaha untuk membina imej organisasi yang lebih baik.

Banyak organisasi di peringkat antarabangsa di pandang tinggi hanya kerana kakitangannya mempunyai budaya kerja kelas pertama,” kata beliau lagi.

Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail merakamkan gambar bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti UTM