Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera Warga UTM,

Seperti biasa, kita mulakan dengan mendoakan semoga seluruh warga UTM, ahli keluarga kita, sahabat handai dan seluruh warga Malaysia dan lain-lain negara yang menghadapi ancaman Covid-19 terpelihara dari musibah dan berada dalam keadaan sihat, tenang, dan sentiasa berjaga-jaga, dan sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

1.     Kita semua maklum PKP makin diperketatkan bagi mengawal penularan Covid-19. Semua warga UTM diingatkan mematuhi PKP ini. UTM menguatkuasakan sepenuhnya larangan ke pejabat kecuali mereka yang diberikan kelulusan khas oleh Naib Canselor setelah Ketua PTJ memperakukan keperluan seseorang staf untuk ke pejabat.

2.     Hari ini 2 April, Mesyuarat Khas Senat telah meluluskan pindaan Kalendar Akademik UTM. Keputusan dibuat setelah perbincangan terperinci dibuat dan dengan kehadiran Presiden dan Setiausaha MPP.

3.     Kalendar ini mengambilkira sebaiknya semua senario yang boleh berlaku dan cuba mengurangkan apa saja risiko sekiranya pandemik ini masih berlarutan. 

4.     Lanjutan dari penetapan Kalendar Akademik ini, Sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PnP) bermula 1 April 2020, dibuat secara atas talian. Permulaan aktiviti PnP lebih awal memberi pelbagai kelebihan kepada pelajar dan Pensyarah. Antaranya memberi ‘masa tambahan’ kepada kita membuat penyesuaian kepada kaedah PnP secara atas talian. 

5.     UTM menyedari pelbagai cabaran bakal dihadapi oleh Pensyarah dan juga pelajar. Oleh itu kita telah memikirkan dengan teliti dan menyediakan pelbagai bentuk kontingensi bagi menyelesaikan sebaiknya apa saja permasaalahan yang bakal dihadapi. Seperti disebut oleh Prof Zainuddin ketika membentangkan Kertas Kerja di Senat, pendekatan kita adalah Flexible, Inclusive dan Eliminate Risk. 

6.     Semua persoalan mengenai perlaksanaan Kalendar Akademik dan PnP secara atas talian boleh dirujuk kepada link: https://www.utm.my/covid19/faq9

7.     Senat juga mengarahkan semua Dekan dan Pengerusi menjadi penghubung,  memberi pencerahan, memudahcara dan bertanggungjawab mempastikan perlaksanaan PnP ini dapat dilaksanakan sebaiknya. Dekan dan Pengerusi perlu mempastikan semua aktiviti PnP mengikut Garispanduan dan memantau apa saja kelemahan bagi diperbaiki. Permasalahan samada dihadapi oleh pensyarah, pelajar perlu dilihat dan diselesaikan sebaiknya.

8.     Kita memahami akan ada pelbagai permasalahan seperti kesediaan Pensyarah, kemudahan internet pensyarah dan pelajar, bahan PnP, kaedah dan kualiti penyampaian, keperluan mempastikan semua pelajar dapat mengikuti PnP dengan sempurna dan pelbagai cabaran lain akan berlaku. 

9.     Kepada para pensyarah kita memohon agar kita sama-sama bersabar dan berkorban sedikit dalam menghadapi keadaan ini. Melihat secara positif, situasi ini membuka peluang kepada kita untuk berubah. Pepatah ada menyebut ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. UTMLead memainkan peranannya menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi pensyarah. Ambil lah peluang ini sebaiknya.

10.  Komitmen kita kepada pelajar ialah tiada yang tertinggal (kecuali dengan sebab di luar kawalan kita) disebabkan oleh krisis ini. 

11.  Mohon warga UTM mengikuti maklumat terbaru melalui email dan saluran lain seperti FB dan Laman Web UTM berkaitan Covid-19 (http://utm.my/covid19).

12.  Warga UTM boleh juga memberi cadangan kepada PTJ masing-masing dan juga kepada pengurusan bagi menambahbaik apa sahaja agenda UTM.

 

Sekian terima kasih.

 

‘Stay safe, stay healthy, and keep on praying’

 

Wahid Omar

36, TSPP

(Day 16 WFH)