STRUKTUR BAHARU KURSUS UMUM UNIVERSITI

Kursus umum Universiti adalah berdasarkan Silibus Mata Pelajaran Umum (MPU) Edisi Kedua yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada Disember 2016. Kursus umum yang ditawarkan berupaya menyumbang kepada perkembangan kemahiran insaniah sebagai seorang graduan UTM berdasarkan kepada Atribut Graduan UTM 2017 dan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang berinovatif dan berciri keusahawanan. Di samping itu, perubahan kursus umum baharu Universiti juga mengambil kira elemen kemahiran bahasa.

Pada 5 Jun 2017, Mesyuarat Senat telah meluluskan struktur baharu kursus umum Universiti yang telah ditawarkan kepada pelajar baharu bermula sesi akademik 2017/2018. Berikut merupakan lima kluster utama kursus umum baharu Universiti yang telah diluluskan :

Kluster 1 (U1) : Penghayatan Falsafah, Nilai dan Sejarah
Kluster 2 (U2) : Kemahiran Insaniah
Kluster 3 (U3) : Perluasan Ilmu
Kluster 4 (U4) : Kokurikulum Pembelajaran Servis
Kluster 5 (U5) : Kemahiran Bahasa

 

Perubahan telah dilakukan oleh Pejabat Pengajian Prasiswazah terhadap kursus kokurikulum yang memenuhi kelompok (U4) melalui penubuhan Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) dan mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Senat Universiti bilangan 09/2014/2015 bertarikh 18 Februari 2015. Mesyuarat Senat bilangan 4/2015/2016 bertarikh 3 Disember 2015 telah meluluskan kursus yang ditawarkan oleh CCSL. Objektif utama perubahan kursus kokurikulum kepada kursus kokurikulum pembelajaran servis adalah untuk pelajar mengaplikasikan pengetahuan kepada komuniti bagi membantu menyelesaikan masalah sosioekonomi dan meningkatkan kelestarian hidup rakyat. Disamping itu, pelajar diterapkan dengan kemahiran insaniah bagi mewujudkan semangat patriotik, prihatin, semangat kesukarelawan dan bertanggungjawab kepada negara. Jumlah kredit bagi setiap kursus ini adalah 2.  Kursus Kokurikulum Pembelajaran Servis terbahagi kepada empat kluster iaitu:

Kluster 1 : Badan Beruniform (UKQU)
Kluster 2 : Akademik dan Profesional (UKQA)
Kluster 3 : Kesukarelawan (UKQR)
Kluster 4 Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (UKQS)

 

KPT telah mewajibkan pelaksanaan kursus umum Pengenalan kepada Keusahawanan kepada semua program Sarjana Muda. Pelaksanaan kursus ini berdasarkan kepada surat pelancaran yang telah dikeluarkan oleh KPT. Pelaksanaan kursus ini bermula pada sesi 2017/2018 dengan menggunakan modul yang telah disediakan. Ini merupakan usaha KPT untuk menghasilkan graduan yang seimbang, holistik dan berminda keusahawanan seperti tertera dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Pada 2 Ogos 2018, Senat Universiti telah meluluskan pelaksanaan kursus UHAK 1032 Pengenalan kepada Keusahawanan dalam program prasiswazah Universiti. Berikut merupakan keputusan Senat berkaitan dengan pelaksanaan kursus Pengenalan kepada Keusahawanan

  1. Kursus UHAK 1032 Pengenalan Kepada Keusahawanan merupakan tambahan kepada kursus umum yang wajib diambil oleh semua pelajar
  2. Semua program hendaklah melaksanakan kursus tersebut bermula pada ambilan sesi 2017/2018
  3. Bagi program yang menawarkan kursus keusahawanan sebagai wajib program, kursus tersebut boleh dipertimbangkan untuk digantikan dengan UHAK 1032 Pengenalan Kepada Keusahawanan
  4. Bagi program yang tidak menawar kursus keusahawanan sebagai wajib program, program tersebut dikehendaki menjadikan kursus UHAK 1032 Pengenalan Kepada Keusahawanan sebagai wajib program
  5. Kursus UHAK 1032 Pengenalan Kepada Keusahawanan tidak dikatogarikan sebagai elektif kursus umum

 

Setiap program diberi pilihan untuk melaksanakan 22 kredit atau 24 kredit mengikut jumlah maksimum kredit graduan. Bagi yang melaksanakan 22 kredit, hendaklah memilih salah satu kursus daripada elektif Kemahiran Insaniah atau Kluster Perluasan Ilmu. Pelaksanaan struktur baharu kursus umum Universit ini telah dilaksanakan bermula bagi pelajar kemasukan sesi 2017/2018.

Pada 27 Jun 2018, Senat Universiti telah meluluskan pelaksanaan satu lagi kursus umum baharu di bawah Kluster 4 Kokurikulum Pembelajaran Servis iaitu kursus Pengalaman Pembelajaran Luar Kurikulum atau dikenali sebagai ExCEL. Kursus SATU kredit ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memberi pengiktirafan serta memberi lebih makna kepada penglibatan pelajar dalam aktiviti luar kurikulum. Pelaksanaan kursus ExCEL menjadikan jumlah kredit bagi kursus umum dalam struktur program Sarjana Muda menjadi 23 hingga 25 kredit. Pelaksanaan ExCEL bermula bagi pelajar kemasukan sesi akademik 2018/2019.

 

Rajah 1 Struktur baharu kursus umum UniversitI