Kepada Semua Pusat Tanggungjawab (PTJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Perkara di atas adalah dirujuk.

UTM sentiasa komited untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat untuk pencegahan kecederaan yang berkaitan dengan pekerjaan dan kesihatan, mengurangkan hazad dan risiko kepada pekerja, pelajar serta pihak berkepentingan yang lain selaras dengan Polisi Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM. Merujuk kepada Seksyen 3 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994), tafsiran loji adalah “apa-apa jentera, kelengkapan, perkakas, alat atau peralatan, apa-apa komponennya dan apa-apa jua yang dipasangkan, disambungkan atau diperlengkapkan padanya.”

Merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Induk, Bil 1/2021 bertarikh 1 Mac 2021. Mesyuarat telah bersetuju bahawa semua jentera, kelengkapan, perkakas dan peralatan baharu yang akan dibeli oleh semua PTJ di UTM, hendaklah mengambil kira dan memasukkan keperluan aspek persekitaran, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSHE).

Keperluan tersebut termasuklah penglibatan oleh Orang Yang Kompeten (OYK) yang dilantik PTJ, dan/atau oleh Health, Safety & Environmental Advisor (HSEA) di PTJ, dan/atau Pegawai OSHE yang dilantik sebagai penasihat (advisory) semasa merancang pembelian peralatan baharu tersebut. Antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah dari segi permit perakuan kelayakan (PMT/PMA/PMD), pemasangan kebuk wasap (fume hood), aspek persekitaran, kompetensi pengendalian alat dan seumpamanya.

Disertakan bersama sebagai Lampiran :

1. Prosedur ISO 45001 : 2018 (OSH Management System-OSHMS), Monitoring and Measurement and Evaluation of Compliances (UTMOSHE-P0911-MME),
2. Borang Monitoring and Measuring Data(UTMOSHE-P0911-F01-MMD), dan
3. Borang Master-list of Monitoring and Measurement Equipment(UTMOSHE-P0911-F02-MMME)

Perhatian dan kerjasama semua PTJ adalah amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.

Pengarah

Pejabat Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan
Universiti Teknologi Malaysia
81310 UTM Skudai
Johor, Malaysia

Office : +607-553 1886 / 3088  Fax : +607-553 3092

Site : http://www.utm.my/oshe