About Us
Hasrat penubuhan Kampus Edupelancongan di UTM adalah bagi meneroka sekaligus menyemarakkan bidang edupelancongan di dalam kampus agar pihak luar UTM sama ada pelajar mahupun orang awam dapat melawat kampus UTM Johor Bahru dengan lebih dekat sekaligus memupuk minat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Menerusi agenda Kampus Edupelancongan, semua lokasi-lokasi yang mempunyai daya tarikan dalam kampus di UTM dipusatkan dan diurus oleh pejabat ini dengan lebih fokus dan terarah dan dibahagikan kepada 2 sektor iaitu alam sekitar (ekopelancongan) dan ilmu pengetahuan (edupelancongan).
Antara lokasi-lokasi yang diuruskan oleh Pejabat UTM Kampus Edupelancongan adalah meliputi Hutan Rekreasi, Balai Cerapan, Taman Tropika (meliputi Rumah dan Laman Menanti), UTM Trails, Tasik Ilmu I,II & Desa Bakti dan Litar Kereta Kawalan Jauh. Di samping itu juga, Pejabat ini turut bekerjasama dan bersinergi dengan beberapa Pusat Tanggungjawab UTM bagi menyemarakkan Pakej-Pakej Edupelancongan & Rekreasi antaranya dengan Unit Pengurusan Harta Tanah & Kluster Pertanian (Dusun UTM), Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan banyak lagi.
Pejabat UTM Kampus Edupelancongan juga merupakan Universiti Awam pertama yang telah menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan pada 5 Ogos 2015 menerusi Pakej UTM Visit My Campus yang disokong oleh Tourism Malaysia.
Seiring dengan perkembangan global dan kehendak semasa Universiti, Pejabat UTM Kampus Edupelancongan telah distrukturkan dan dipindahkan kepada Kluster Sukan, Rekreasi & Edupelancongan, Bahagian Pembangunan Perniagaan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) mulai 14 Disember 2017.
Pejabat UTM Kampus Edupelancongan menerusi perancangan masa hadapan akan terus memantapkan lagi inisiatif ini menerusi pemerkasaan Pakej Edupelancongan UTM Visit My Campus dan pelbagai lagi program-program berkaitan rekreasi untuk manfaat warga Universiti dan masyarakat sekitarnya.
