Oleh Arif Munandar Riswanto

MPhil (2012-2015) dan PhD (2016 – ) di RZS-CASIS

Bagi orang yang pernah belajar di Pondok Pesantren seperti saya, menuntut ilmu di Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam Science and Civilisation (RZS-CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) seperti menuntut ilmu di Pondok Pesantren. Ilmu-ilmu yang diajarkan, kewibawaan (authority) guru, adab, suḥbah, dan ukhuwwah, adalah di antara beberapa tradisi Pesantren yang boleh kita dapatkan di RZS-CASIS. Bagi saya, RZS-CASIS adalah Pesantren peringkat pendidikan tinggi.

Graduasi Master di UTM Johor bersama rakan -rakan CASIS pada tahun 2015
(dari kiri: Kun Ali, Saidina Uthman, penulis, Mukhlas Nugraha)

Perjalanan ilmiyah saya di RZS-CASIS bermula pada awal tahun 2012. Pada waktu itu, dari beberapa khabar yang saya baca & dengar, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud telah menubuhkan CASIS (pada waktu itu masih CASIS) di UTM. Pada tahun yang sama, selepas saya baru saja menyelesaikan Master di sebuah Universiti di Bandung, Assoc. Prof. Dr. Khalif Muammar (sekarang pengarah RZS-CASIS) datang ke Bandung untuk memberikan kuliah di PIMPIN (Institut Pemikiran Islam dan Pembangunan Insan). Peluang tersebut saya gunakan untuk bertanya tentang CASIS. Sebab, selepas tamat dari Universiti al-Azhar Kaherah, saya memang sangat ingin belajar di ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilization) yang ditubuhkan oleh Prof. al-Attas (tapi kerana saya sudah mendengar dari murid-murid Prof. al-Attas apa yang berlaku kepada ISTAC, Allah kemudian tidak menakdirkan saya untuk belajar di ISTAC). Sekitar tahun 2003, melalui murid-murid Prof. al-Attas dari Indonesia (terutama Majalah Islamia) dan INSISTS (Institute for the Study of Islamic Thought and Civilizations), ketika saya sedang belajar di Universiti al-Azhar Kaherah-Mesir, saya mula membaca pemikiran-pemikiran Prof. al-Attas. Pada awal tahun 2000, peta pemikiran Islam di Indonesia sedang dikejutkan dengan kemunculan fenomena Islam Liberal. Dari semua jawapan kepada Islam Liberal, saya membaca bahawa jawapan yang diberikan oleh murid-murid Prof. al-Attas (INSISTS) adalah jawapan yang paling ilmiyah dan berakar umbi dalam tradisi Islam. Kesan saya ketika itu bahawa murid-murid Prof. al-Attas memahami turāth,menguasasi falsafah Barat, dan hebat dalam menulis karangan. Dari situ, saya pun kemudian mengetahui kehebatan ISTAC sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi cemerlang.

Pendek kata, setelah berbincang & menulis thesis proposal sederhana kepada Dr. Khalif, saya kemudian daftar dan diterima sebagai pelajar RZS-CASIS. Di samping itu, setelah berbincang dengan Dr. Khalif dan meminta petunjuk Allah, saya juga mengambil keputusan untuk mengambil Master di RZS-CASIS—bukan Ph.D. Saya membuat keputusan tersebut berdasarkan pertimbangan bahawa ilmu yang saya miliki masih sangat sedikit. Satu keputusan besar kerana apa yang akan saya lalui akan mengambil waktu, umur, dan biaya yang tidak sedikit. Di samping takdir Allah, di sebalik keputusan saya tersebut ada sokongan isteri dan orangtua. Mereka sentiasa berkata kepada saya bahwa apa yang kita lakukan untuk ilmu (terutama ilmu agama) tidak akan pernah sia-sia.

Demi untuk menuntut ilmu di RZS-CASIS, saya tinggalkan semua aktiviti dan pekerjaan di tanah kelahiran (pada waktu itu saya telah menjadi aktivis dan generasi muda beberapa organisasi Islam di Bandung). Pada masa itu, masyarakat melihat saya sebagai lepasan al-Azhar. Jika sudah diberi label lepasan dari Timur Tengah, kebanyakan orang selalunya akan sibuk mengajar di Pesantren, penuh jadual ceramah dan pengajian, aktif di organisasi-organisasi Islam, atau menjadi guide haji-umrah.

Pada bulan Ogos 2012 pun (sehingga sekarang), saya merantau ke Kuala Lumpur. Untuk menanggung kos kehidupan sehari-hari di Kuala Lumpur, semua simpanan wang saya ambil serta barang-barang yang saya dan isteri beli pun kami jual. Tapi, seperti nasihat Imam al-Shāfiʿī dalam salah satu syairnya: “Merantaulah kamu; Kamu pasti akan mendapatkan ganti dari apa yang kamu tinggalkan.” Nasihat Imam al-Shafīʿī itu sangat saya rasai sehingga kini. Sebab, meskipun saya meninggalkan banyak perkara di tanah kelahiran, tapi di RZS-CASIS saya mendapatkan perkara-perkara baharu, iaitu guru, ilmu, sahabat, dan tradisi Islam. Perkara-perkara berharga tersebut tidak akan saya dapati jika saya tidak merantau mencari ilmu di RZS-CASIS.

Perjumpaan pertama bersama Prof. Al-Attas di RZS-CASIIS

Saya adalah di antara kumpulan kedua pelajar awal RZS-CASIS. Seperti yang ditulis di awal, belajar di RZS-CASIS bagi saya seperti belajar di Pesantren (dan juga al-Azhar). Di RZS-CASIS, pelajar-pelajar belajar Bahasa Arab, Worldview and Epistemic Frameworks, Reading in Classical Texts, Major Muslim Scientists, Qur’an and Hadith: Principles, Methodology and Contemporary Challenges, Shari‘ah in Contemporary Societies, Aqidah, Tasawwuf in Islamic Tradition, Islam and Other Faiths, Islam in Malay History and Culture, dan lain-lain. Bagi yang pernah tumbuh, besar, dan belajar di Pesantren, pasti sering mendengar sebahagian besar kursus-kursus tersebut. Walaupun sudah tentu ada perbezaan yang besar antara Pesantren dengan RZS-CASIS. Di RZS-CASIS, kursus-kursus tersebut dipelajari dengan lebih dalam untuk kemudian dikaitkan dengan cabaran-cabaran semasa—terutamanya cabaran dari falsafah Barat sekular. Selain kursus-kursus di atas, pelajar-pelajar di RZS-CASIS pun belajar falsafah, sejarah, dan peradaban Barat. Jadi, selain  belajar turāth, pelajar-pelajar RZS-CASIS pun belajar Barat. Dua perkara tersebut (turāth dan Barat) adalah perkara-perkara yang membezakan RZS-CASIS dengan Pesantren dan universiti-universiti di Timur Tengah. Jika pengajian-pengajian Islam di Barat banyak menghasilkan lepasan-lepasan yang melakukan dekonstruksi, pembaharuan, dan bacaan baharu terhadap tradisi Islam, di RZS-CASIS tradisi Islam dijaga, dipelihara, dan ditafsirkan untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa. Sebaliknya, jika di Pesantren dan universiti-universiti Timur Tengah, Barat tidak dipelajari sehingga turāth tidak dapat berbunyi menghadapi cabaran-cabaran semasa, di RZS-CASIS, Barat (dari zaman Yunani sehingga zaman post-truth) dibaca dan dipelajari dengan kritikal. Jadi, di RZS-CASIS, tradisi dan kemodenan berjalan seiring. Ini yang sering disebut oleh Prof. Wan sebagai dynamic-stabilism. Ia wujud wasaṭiyyah yang menjadi salah satu sifat Islam.

Di Majlis walimah anak Prof. Dr. Wan Mohd Nor, bersama isteri (di tengah) dan pelajar-pelajar wanita di CASIS

Kewibaan guru adalah di antara perkara yang diamalkan di RZS-CASIS. Banyak contoh yang boleh disebut tentang kewibawaan guru di RZS-CASIS. Untuk kes saya, kepercayaan yang diberikan Prof. Wan kepada saya untuk meneroka pemikiran Fakhr al-Din al-Razi (544-606 H/1149-1210 M) adalah salah satu wujud kewibaan guru. Awal mula belajar di RZS-CASIS, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk meneroka pemikiran al-Razi. Malah untuk tesis pun, saya sudah memiliki cadangan beberapa tajuk untuk ditulis—bukan tentang al-Razi. Tetapi, apabila saya berunding dengan Prof. Wan, beliau kemudian memberikan kepercayaan kepada saya untuk menulis tentang tokoh tersebut. Di institusi-institusi pendidikan tinggi, tajuk dan tema penulisan tesis selalunya dicadangkan oleh pelajar, bukan guru. Tapi di RZS-CASIS, tajuk dan tema penulisan tesis boleh dicadangkan oleh guru. Ini kerana guru memiliki ilmu dan pengalaman yang luas daripada murid. Jadi guru memiliki pandangan yang lebih luas tentang tema-tema penting apa yang mesti ditulis oleh seorang pelajar. Sebab diharapkan tesis yang ditulis dapat memberikan jalan keluar dari masalah-masalah besar umat. Salah satu nasihat yang sering diucapkan Prof. Wan kepada murid-murid beliau adalah, “Tulis tesis yang dapat memberikan jalan keluar dari masalah, bukan menambah masalah.” Bagi saya, memiliki peluang untuk belajar dan mempelajari pemikiran dua gergasi ilmuwan Muslim zaman dahulu (al-Razi) dan semasa (Prof. al-Attas) adalah salah satu kurnia besar yang diberikan oleh Allah. Dan ini berlaku kerana wasilah kewibawaan guru yang diamalkan di RZS-CASIS.

Kewibawaan guru pun dapat dilihat daripada proses penyeliaan tesis. Di sini, cara penyelia saya, iaitu Assoc. Prof. Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, dapat dikatakan sangat unik. Dr. Wan adalah penyelia yang akan membaca seluruh isi tesis murid-muridnya—agak jarang pada masa sekarang ada penyelia yang membaca seluruh isi tesis seliaannya. Jika pelajar hendak berbincang isi tesis dengan Dr. Wan, maka dia harus duduk di hadapan Dr. Wan dan membaca isi tulisan baris demi baris—dari awal sehingga hujung tulisan. Jadi ketika membaca tesis dengan Dr. Wan, pelajar seolah-olah sedang talaqi dan membacakan hafalannya (tasmi’) di hadapan seorang Shaykh, Kiai, atau Tok Guru. Jika kita membaca buku-buku tentang sejarah peradaban Islam, cara seperti ini sebenarnya telah diterapkan dan hidup dalam tradisi keilmuan Islam selama berabad-abad.

Selain suasana keilmuan, di RZS-CASIS suasana ukhuwwah pun terjalin sangat erat. Saya masih ingat, di penghujung tahun 2013, ketika isteri saya disahkan mengidap penyakit ovarian cysts seberat 7 kilogram sehingga isteri saya terpaksa harus pulang kampung. Pada masa itu, tanpa saya ketahui, kawan-kawan di RZS-CASIS memberikan bantuan untuk kos pulang dan rawatan isteri selama di kampung. Perkara yang sama berlaku pada hujung tahun 2015 apabila isteri saya keguguran sehingga ia harus menjalani D&C (Dilation and Curettage). Bantuan-bantuan kewangan adalah perkara biasa yang berlaku di RZS-CASIS—terutamanya bantuan untuk yuran pengajian bagi pelajar yang mengalami masalah kewangan. Malah, ketika isteri saya di kampung menjalani rawatan selama setahun, melalui BBM (BlackBerry Messenger), Prof. Wan selalu menjadi guru pertama yang menanyakan khabar dan mendoakan kesihatan untuk isteri saya. Prof. Wan pun menjadi guru pertama yang bertanya dan mendoakan secara peribadi almarhumah ibu saya yang meninggal dunia di penghujung tahun 2021. Bagi saya, Prof. Wan adalah guru yang benar-benar mencerminkan adab. Adab yang bukan hanya ditulis dalam buku, tapi hidup dalam kehidupan sehari-hari. Ujian-ujian hidup yang berlaku di luar kewajipan mencari ilmu pun terasa ringan dengan kehadiran guru dan kawan.

Itulah Pesantren RZS-CASIS. Sebuah institusi pengajian tinggi yang meneruskan tradisi keilmuan Islam yang telah dibina oleh para ilmuwan Muslim berwibawa selama berabad-abad. Ia seperti pohon baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit (Ibrahim [14]: 24). Semoga Allah sentiasa memberi taufik, inayah, hidayah, serta kebaikan dunia-akhirat kepada guru-guru, ibu bapa, dan sahabat-sahabat yang ikhlas berjihad di jalan-Nya.

Arif Munandar kini merupakan pelajar PhD di RZS-CASIS sejurus setelah tamatnya Master yang kedua di tempat yang sama pada 2012-2015 dengan tesis Al-Razi on Justice. Beliau merupakan lulusan Al-Azhar (2000-2006) dalam Usuluddin dan terlibat dalam banyak terjemahan turath-turath muktabar ke bahasa indonesia, seperti penulisan Shaykh Qardawi dan kitab-kitab fiqah. Beliau merupakan peniliti di Jawharuna

Bacaan Kitab di RZS-CASIS
Pembentangan Islam and the Philosophy of Science di Johor Bharu
Selesai sesi VIVA bersama penyelia (PM Dr Wan Suhaimi)
Bantu mengkatalog buku-buku turath di CASIS bersama rakan-rakan
Bersama keluarga tercinta