Oleh Dr. Mohd Hilmi Ramli, 

M.Phil (2013-2016) dan Ph.D (2016 – 2020)  di RZS-CASIS

Pohon yang subur dan baik disebutkan dalam Qur’ān sebagai satu metafora kepada kata-kata yang baik dan bermanfaat: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.” (Ibrāhīm: 24). Pohon yang baik itu akarnya teguh dan rantingnya mencapai langit, seumpama kata-kata yang baik dan benar yang menjalar ranting-ranting dan buah-buah kebenarannya menyentuh hati-hati insan. Pada masa yang sama juga Allah menyebutkan pohon yang buruk seperti kata-kata yang buruk, “Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.” (Ibrāhīm: 26).  

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menghuraikan perihal ‘pohon’ ini dalam Kata Pengantar beliau dalam Jurnal Al-Shajarah keluaran yang pertama:

“The characteristic quality of truth is like that of a good tree whose roots are firmly fixed and whose branches reach to the skies. The faculties of the soul are like roots buried deep in the hidden ground of reality, well nourished by the water of knowledge. The body and its faculties are like trunk, branches, and leaves exposed to outward sense and sensible experience. The incessant fruits give continual life to body and soul. The heart is the core of the tree. When the roots probe deeper into the earth the tree becomes established in firmness. The sciences are branches of the tree of knowledge, and scientific activity, in the quest for Truth, must be such that it produces beneficial results for the betterment of humanity”.

Walaupun huraian ini ditulis oleh Prof. al-Attas sebagai pendahuluan kepada falsafah dan tujuan Jurnal al-Shajarah yang beliau terbitkan dan ketuai sebagai editor-in-chief di ISTAC, metafora ‘pohon’ ini juga bertepatan sebagai sebuah tempat berteduh kepada seseorang dalam perjalannya mencari ilmu dan kebenaran. Ini kerana sebuah ‘pohon yang teduh’ di tengah padang pasir yang gersang ilmu dan kering kontang akhlak dan nilainya menjadi tempat persinggahan yang benar-benar melegakan dan nyaman bagi mereka yang ikhlas, jujur, dan bersungguh-sungguh mencari ilmu yang sebenar. Di tempat berteduh ini, mereka boleh berehat sejenak sambil berfikir mengenai hakikat dan tujuan kehidupan di sebalik kehidupan di luar yang penuh dengan kepura-puraan dan mencari sahabat-sahabat yang turut bersama berteduh dalam perjalanan ilmiah. Di pohon ini juga, mereka boleh mengumpul tenaga dan kekuatan untuk berhadapan dengan realiti yang memedihkan mata dan menyesakkan dada di luar sana, sebelum mereka menemui al-Ḥaqq di Taman yang Abadi. 

Sebuah pohon tidak tumbuh secara sendirinya, akan tetapi pohon itu tumbuh dan berasal dari benih pepohonan yang subur, yang lebih awal dan besar. Dalam hal ini, ‘pohon yang kecil dan rendang’ ini adalah datangnya dari sebuah pohon ilmiah yang lebih awal dibina dan teguh. Apatahlagi ‘pohon’ yang masih kecil dan baru ini perlu dibajai dan dijagai dengan baik. Semestinya juga penjaga ‘pohon’ itu perlulah memiliki ilmu yang luas dan mendalam, berpengalaman, dan terlatih untuk memastikan ‘pohon’ itu subur, membesar, dan menghasilkan tanaman dan buahan yang memberi manfaat. 

Makalah ringkas ini adalah perkongsian ringkas pengalaman peribadi penulis sebagai pelajar M.Phil (2013-2016) dan Ph.D (2016-2020) di Pusat Pengajian Tinggi Islam Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Apa yang diperkatakan mengenai konsep dan amalan sebenar universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan adab, telah dirasai dan sedang diteruskan kecemerlangannya di RZS-CASIS, UTM. Ia bukan hanya kata-kata pengharapan seperti ‘ke arah mewujudkan universiti berkelas dunia’, atau sesuatu yang perlu diusahakan, seperti ‘usaha menghidupkan roh universiti’, akan tetapi faham dan budaya sebenar universiti sebagai pusat ilmu dan menanam adab telah berlaku dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan. 

Walaupun ada kekurangan dan kelemahan sebagai sebuah Pusat yang kecil di UTM, kesungguhan dan keberanian yang dizahirkan secara ikhlas dan berterusan oleh para guru, pentadbir, pelajar berdasarkan ilmu dan keyakinan yang benar, dan juga mereka yang sering hadir ke program dan menyokong secara kewangan kepada RZS-CASIS amatlah bermakna dan menzahirkan sebuah ‘pohon kecil yang nyaman untuk berteduh’. 

Sebelum menyambung pengajian di CASIS, nama asal sebelum dinaiktaraf sebagai RZS-CASIS, saya sudah pun mendapat tawaran prestij Chevening Scholarship untuk menyambung pengajian M.A di School of Oriental and African Studies (SOAS), UK pada tahun 2011. Sementara menunggu pendaftaran di SOAS pada September 2011, saya perlu menghabiskan tempoh perkhidmatan di Affin Islamic Bank Berhad, tempat yang saya telah bekerja selama tiga tahun. 

Namun, disebabkan keperluan pihak SOAS untuk saya mendaftar kursus intensif bahasa Inggeris terlebih awal sebelum bulan September, saya terpaksa menolak tawaran tersebut, walaupun telah berunding dengan pihak SOAS, kerana saya perlu menghabiskan tempoh perkhidmatan saya dengan majikan saya. Akhirnya, tawaran Chevening saya tidak dapat diteruskan. Itu adalah satu pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan kerana terlepas peluang belajar di luar negara. 

Namun demikian, Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik. Pada tahun yang sama, secara khususnya pada 21 Februari 2011, CASIS, UTM baru sahaja ditubuhkan. Penubuhan CASIS adalah hasil dari visi dan wawasan yang luas Dato’ Seri Ir. Zaini Ujang, Naib Canselor UTM ketika itu yang mengenali dan menghormati kewibawaan ilmu dan ketokohan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, untuk menubuhkan CASIS di UTM. Pada peringkat awal penubuhannya, ramai yang berkata, UTM sangat beruntung kerana menjadi seperti MIT yang mempunyai sekolah pemikiran dan falsafah yang berwibawa.  

Bersama Prof. Madya Dr. Khalif Muammar dan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud

Pada ketika itu saya masih ingat lagi Prof. Dr. Wan Mohd Nor sebagai Pengarah CASIS yang baru telah menjemput saya ke pejabat beliau di CASIS yang terletak di Tingkat 18, Menara Yayasan Selangor, Kampung Baru. Perkenalan saya dengan Prof. Wan telah bermula sejak 2002 lagi, apabila saya bertemu beliau di penghujung Siri Sharahan Malam Sabtu yang disampaikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di ISTAC sebelum beliau tidak lagi berkhidmat di situ. Kemudian pada tahun 2005 dan seterusnya, saya semakin mendekati Prof. Wan; menziarahi dan mendapatkan banyak nasihat dan panduan daripada beliau.

Tidak dinafikan, peluang dapat meneruskan pengajian di universti terkemuka luar negara adalah satu peluang keemasan, terutamanya untuk merasai pengalaman baru. SOAS sebagai contoh, adalah universiti yang terkehadapan dalam penyelidikan dan pengajian bidang Asia, Afrika dan Asia Barat dan mereka mempunyai ramai sarjana dan pelajar yang terkemuka lahir dari sana. Sebagai contoh William Montgomery Watt, Martin Lings, Prof. al-Attas (menyiapkan Ph.D di SOAS), dan ramai lagi. 

Salah satu kelebihan universiti di Barat ialah mereka mampu menghimpunkan pemikir, sarjana, dan pakar terkemuka dalam pelbagai bidang untuk mengajar dan menjalankan penyelidikan, dan secara langsung dengan cara itu, mampu menarik minat pelajar-pelajar yang cerdas dan bijak dari pelbagai tempat untuk belajar di bawah bimbingan tokoh-tokoh tersebut. 

Bersama Prof. Dr. Hans Daiber di ruang Perpustakaan Rujukan RZS-CASIS, ketika

Pengalaman saya sebagai pelajar M.Phil dan Ph.D di CASIS, UTM telah menyaksikan satu budaya ilmu yang tinggi dan benar diamalkan. Budaya ilmu tinggi bukan sahaja diamalkan secara berpura-pura, atau menjadi slogan di mulut dan catatan dalam kertas atau dokumen-dokumen rasmi, akan tetapi difahami dan diamalkan dengan ikhlas, berani, dan bersungguh-sungguh.

Pada peringkat awal penubuhan CASIS, Prof. Wan pernah menyebutkan: “We are small and few, but we are coming from a ‘big tree’”. Kenyataan ini sangat mendalam dan menzahirkan asal usul falsafah dan amalan pendidikan di CASIS yang teguh dan kuat berasal dari ‘pohon yang teguh juga’, bukan bermula dari cita-cita yang kosong. CASIS ditubuhkan sebagai penerusan kecemerlangan dari falsafah dan amalan pendidikan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang beliau telah usahakan di Fakulti Bahasa UM, kemudian ATMA, UKM dan terakhir dijayakan dengan cemerlang di ISTAC (1987-2002). Falsafah pendidikan Islam menurut Prof. al-Attas, seperti yang beliau persembahkan dalam karya beliau, The Concept of Education in Islām, dan dihuraikan dengan mendalam dan cemerlang oleh Prof. Dr. Wan dalam The Educational Philosophy and Practise of Syed Muhammad Naquib al-Attas, ialah bertujuan melahirkan insan yang beradab. Pendidikan dalam Islam menumpukan insan itu sebagai sasaran utama untuk membangunkan diri dan tujuan hidupnya menurut kerangka pandangan alam Islam yang sebenar, bukan menumpukan kepada pembangunan melulu objek di luar insan itu, seperti buku teks, fasiliti, pedagogi, dan sebagainya, walaupun semua ini—objek-objek di luar—penting untuk memudahkan proses pendidikan itu berlaku. Hakikatnya, pendidikan, iaitu ta’dib (menanam adab ke dalam diri insan) melibatkan insan sebagai ejen yang aktif dan juga pada masa yang sama penerima kepada pendidikan itu.

Hal ini yang ditegaskan oleh Prof. al-Attas mengenai pentingnya pendidikan di peringkat tinggi, khususnya universiti, kerana di peringkat ini ilmu-ilmu penting diajar dan membentuk pemikiran dan cara kerja seseorang, dan di peringkat universiti juga kekeliruan dan salah tanggap terhadap ilmu boleh berlaku. Oleh kerana itu pendidikan di peringkat universiti memerlukan kerangka falsafah dan tujuan ilmu yang benar. Pendidikan peringkat tinggi akan mempengaruhi pendidikan peringkat yang rendah, dan bukan sebaliknya. Sebagai contoh hari ini, kandungan pendidikan, sosial media, hiburan, dan kartun dibentuk oleh mereka yang melalui pendidikan di peringkat tinggi, sekurang-kurangnya ramai yang belajar di universiti.  Jika pendidikan peringkat tinggi mereka baik, maka kandungan yang mereka bentuk juga akan baik. Jika pendidikan yang keliru mereka terima, maka kandungan yang rosak dan keliru juga yang mereka akan buat dan sebarkan.

Prof. Wan telah menghuraikan dengan kreatif dan bijaksana pepatah Melayu, “melentur buluh dari rebungnya” dalam kerangka pentingnya pendidikan peringkat tinggi ini. Pepatah Melayu ini ditafsirkan oleh kebanyakkan orang awam ialah merujuk kepada pendidikan rendah di kalangan kanak-kanak, seperti mana buluh yang mahu dibentur perlu bermula dari peringkat awalnya lagi, iaitu rebung. Namun, menurut Prof. Wan, kita terlupa dan tidak memberi perhatian kepada siapa pembenturnya? Apa kualiti ilmu dan kemahirannya? Di mana mereka dilatih? Siapa guru mereka? Jika si pelentur itu seorang yang kasar, maka buluh yang masih muda itu akan patah. Jika si pelentur itu terlalu lembut, buluh itu mungkin tidak menjadi buluh yang tegap dan baik. Maka, hal yang sama juga apabila pendidikan di peringkat tinggi, jika pensharah, guru atau pengajarnya tidak memiliki ilmu dan kemahiran yang benar; tiada guru yang berwibawa; tiada falsafah dan tujuan ilmu yang benar; bagaimana mereka boleh membentuk pendidikan di peringkat tinggi dan seterusnya ke peringkat rendah dengan baik?

Oleh kerana itu saya melihat penubuhan CASIS di peringkat awal sudah jelas dan mempunyai rekod kecemerlangan yang sudah ‘self-defined’. Dalam erti kata yang lain, perancangan dan hala tuju CASIS sebagai sebuah pusat kecemerlangan di UTM sudah jelas, tidak teragak-agak dan teraba-raba. Para pendiri CASIS terutamanya Prof. Wan memiliki pengalaman yang luas dan mendalam dalam mentadbir pusat pengajian tinggi yang cemerlang sebelum ini, khususnya pengalaman beliau membantu Tan Sri Prof. al-Attas membangunkan ISTAC, dari tahun 1987-2002. CASIS, pada hemat saya, meneruskan kecemerlangan yang sama, menekankan ketekunan akademik (academic rigor) dalam pengajian dan penyelidikan yang berakarkan kepada sumber tradisi keilmuan yang berwibawa—sama ada sumber Islam, Barat dan Tamadun lain—dan pada masa yang sama, memahami dengan mendalam dasar dan falsafah pemikiran semasa. 

Sesi Sharahan Sabtu Malam (Saturday Night Lecture) yang pertama diadakan di Dewan Juma’ah, UTM Kuala Lumpur, 2012

Pada peringkat awal CASIS, kami amat bertuah kerana Prof. al-Attas telah dilantik sebagai Profesor Pelawat Ternama CASIS. Beliau menyampaikan Siri ikonik Sharahan Sabtu Malam beliau yang dihadiri oleh 300-400 orang dari pelbagai latarbelakang pendidikan, status sosial umur, dan kecenderungan politik. Beliau juga hadir bertemu secara khusus dengan pelajar-pelajar CASIS dan menyampaikan buah fikiran dan menerima persoalan-persoalan berbangkit. 

Dalam salah satu sesi pelajar CASIS bersama beliau, saya masih ingat lagi soalan yang telah ditanyakan oleh saudara Muhammad Syukri Rosli berkenaan dengan “Bahan-Bahan Bacaan” seperti buku, artikel dan manuskrip yang disebutkan di bahagian belakang karya Islam dan Sejarah dan Kebudayaan Melayu (IDSKM). Soalan berbunyi seperti ini: “Adakah bahan-bahan bacaan yang Prof sebutkan dalam karya IDSKM tersebut menjadi sumber kepada idea dan gagasan Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu?” 

Bersama Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman (penyelia) dan rakan-rakan CASIS-HAKIM selesainya majlis Sharahan Sabttu Malam oleh Prof. Al-Attas di Dewan Azman Hashim, 2013

Jawapan Prof. al-Attas sangat terkesan pada diri saya dan juga yang turut hadir. Prof al-Attas menjawab, menurut apa yang saya faham: “Never underestimate your intelligence. Even though I put them (i.e the books etc) as a list of reference, but everything is from my mind. Allah gives you insights, you have to think about it. It comes from God”.

Dari jawapan Prof al-Attas ini, saya memahami bahawa memang bahan-bahan bacaan yang disebutkan oleh Prof al-Attas dalam IDSKM adalah sumber primer yang terbuka; maksudnya sesiapa sahaja di kalangan sarjana, ahli sejarah, pelajar, malah orang awam, boleh mempunyai akses kepada sumber-sumber tersebut. Namun, tiada di kalangan mereka yang dapat mempersembahkan suatu gagasan yang baru, lagi kukuh dan segar mengenai peranan Islam dalam membentuk sejarah dan kebudayaan rantau ini. Prof. al-Attas mempersembahkan suatu gagasan yang baru dan segar, tidak menuruti tafsiran Orientalis mengenai sejarah di rantau ini, bahawa Islam memainkan peranan yang sangat besar dan penting dalam membentuk pandangan alam umat Melayu ini, melalui bahasa dan akal, dan membentuk pemikiran masharakat Melayu yang saintifik, tidak lagi dogmatik dan mempunyai faham animisme. Gagasan dan penegasan itu adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah yang menjadi asas kepada pembentukan identiti sebenar umat Melayu di rantau ini.

Dalam kuliah-kuliah yang diajarkan di CASIS, setiap pensharah menekankan ketelitian dan kesungguhan dalam memahami hujah-hujah yang dipersembahkan oleh penulis, apatah lagi jika pengarangnya adalah tokoh yang besar dan berwibawa dan juga mempunyai aliran pemikiran yang berbeza. Budaya hormat-kritis terhadap karya-karya dan pemikiran tokoh pemikir Islam dan Barat, silam dan kontemporari, dipupuk dalam kuliah-kuliah di CASIS.

Prof. Wan memperkenalkan subjek baru,  Decolonisation and Islamization of Contemporary Knowledge, sebagai subjek wajib untuk pelajar-pelajar CASIS. Menurut Prof. Wan, tujuan subjek ini diajar adalah untuk membina kerangka utama pelajar-pelajar dalam memahami gagasan PengIslaman ilmu kontemporari berdasarkan kerangka asli dan kreatif pemikiran Prof. al-Attas, dan pada masa yang sama memahami dekolonisasi sebagai naratif intelektual yang digunakan oleh pemikir dan sarjana dunia ketiga untuk melawan Pembaratan. Berbeza dengan Fakulti yang menawarkan subjek pengajian atau pemikiran Islam di banyak negara-negara Islam dan Barat, mereka hanya menggunakan nama subjek yang sama, kadang kala mengambil bulat-bulat apa yang ditawarkan di Universiti Barat, tanpa memahami tujuan dan keperluan subjek-subjek itu diajar.

Acara tahunan buka puasa dan solat tarawikh di CASIS

Dalam kelas Major Muslim Thinkers yang diajar oleh Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman, para pelajar diajar membaca manuskrip al-Rānīrī, Jawāhir al-‘Ulūm fi Kashf al-Ma‘lūm, sebuah teks Tasawwuf dan adab. Dalam kelas, ada pelajar dari luar negara, seperti Masood Yusof dari Guyana, Sania Sufi dari Amerika Syarikat, Sid Ahmed Khireddine dari Algeria, Arif Munandar, Hearul Anwar dan Ali Mukhtar dari Indonesia, Chokchai Wongtanae @ Ibrahim dari Thailand, termasuk pelajar-pelajar Malaysia dari negeri yang berbeza, seperti Sharifah Hajar dari Selangor, Fahroni Hamdan dari Johor, Dayang Nurhazieqa dari Sarawak, Aizuddin Norafandi dari Selangor, Nurhazfarahin dari Selangor (sekadar menyebut nama-nama yang hadir ke kelas pada ketika itu). Yang menariknya ialah, apabila manuskrip al-Rānīrī dibaca, masing-masing pelajar menggunakan bahasa yang fushah, tidak kedengaran dialek kenegerian atau bangsa setiap pelajar yang membacanya. Ini menunjukkan karya-karya ilmiah yang dihasilkan oleh ulama kita seperti al-Rānīrī dan ramai lagi mampu menjadi medan penyatu dari segi ilmu, kefahaman, dan penggunaan bahasa yang tinggi dalam kalangan umat Islam secara keseluruhannya. Hal yang sama juga jika teks dalam bahasa Arab yang dibaca dapat menyatukan pemikiran dan budaya, namun dengan syarat sekiranya diajarkan dan dihuraikan dengan betul. 

Dalam kelas Prof. Zainiy juga, para pelajar diminta untuk menyiapkan tugasan akademik, sama ada ulasan makalah, refleksi, atau rumusan dari kelas setiap minggu. Kadangkala para pelajar merasa penat kerana kesuntukan masa untuk menyempurnakan tugasan, akan tetapi mereka merasa puas dengan hasil yang dibuat. Dalam satu keadaan, seorang pelajar luar negara ditegur oleh Prof Zainiy kerana tidak bersungguh dalam menyiapkan tugasan untuk membuat transliterasi manuskrip Jawī ke tulisan rumi. Hal ini tidak berlaku jika pelajar Muslim belajar bahasa asing di universiti Barat atau luar negara, mereka akan laksanakan tugasan dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi apabila pelajar Muslim diminta untuk belajar bahasa Jawī di universiti di negara Islam, mereka tidak menunjukkan kesungguhan. 

Kelas yang diajar oleh Prof. Tatiana seperti Islam and the Malay World meninjau sumbangan-sumbangan orientalis dalam mengkaji sejarah dan peradaban Alam Melayu; kelas oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris seperti Islamic Political Thought & Institution, membaca teks The Republic oleh Plato dan perbandingan pemikiran politik dengan al-Mawardi dalam al-Aḥkām al-Sulṭāniyyah. Manakala dalam kelas Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi sebagai contoh, membaca dari satu perenggan ke satu perenggan aspek psikologi dalam Islam berpandukan Kitāb al-Mu‘tabar oleh Abū al-Barakāt al-Baghdādī. 

Pensharah-pensharah yang pernah berkhidmat di CASIS sebelum ini seperti Dr. Syamsuddin Arif, Dr. Adi Setia Md. Dom, Dr. Suleiman Boayo, dan Dr. Wan Azhar Wan Ahmad juga menekankan aspek ketekunan akademik melalui rujukan-rujukan utama dalam sumber-sumber asli dalam kuliah mereka.


Di peringkat awal penubuhan CASIS, tiada lagi pengambilan pelajar-pelajar yang baru kerana CASIS masih menyusun organisasi dan pengurusannya. Sepanjang itu juga, dari Februari 2011 sehingga Oktober 2011, saya, walaupun masih bekerja di sektor perbankan, kerap ke CASIS bersama rakan-rakan—yang kemudian mereka ini menjadi antara pelajar awal di CASIS, seperti Muhammad Husni Amin (MPhil & Ph.D, RZS-CASIS), Muhammad Ikhwan Azlan (kini Dr.; Ph.D RZS-CASIS), Syafiq Borhanuddin (M.Phil dan kini Ph.D RZS-CASIS), Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal (kini Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia), Wan Mohd Aimran (kini Ph.D RZS-CASIS), Muhammad Syukri Rosli (M.Phil dan kini Ph.D RZS-CASIS), Syed Muhiyuddin al-Attas (M.Phil RZS-CASIS), Aliff Basri (ahli HAKIM) dan ramai lagi untuk berdiskusi bersama Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Pengasas-Pengarah Pertama dan Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman sambil makan tengahari dan minum kopi. Dalam kesempatan yang lain juga, kami bertemu Prof. Madya Dr. Khalif Mu’ammar A. Harris. 

Yang saya maksudkan juga falsafah dan tujuan di CASIS yang ‘self-defined’ ialah berkenaan makna dan tujuan ilmu itu yang sudah jelas dan yakin. Di CASIS, budaya ilmu dizahirkan melalui penghayatan meletakkan ilmu, orang yang berilmu, dan budaya ilmu yang sebenar di tempatnya yang tinggi dan wajar. Penyataan seperti ini seperti mudah, akan tetapi amat sukar untuk dilaksanakan dengan adil dan betul, apatah lagi dalam sebuah organisasi yang besar dan mempunyai rangkaian yang pelbagai, kerana pra-syarat yang mesti difahami ialah apa itu ilmu. Ilmu mengenali Tuhan, sifat-sifat Tuhan, para Rasul, wahyu, agama, hakikat insan dan pendidikan itu semestinya lebih tinggi dan penting berbanding dengan ilmu-ilmu selain itu, kerana dalam pandangan alam kita, tiada guna kita cemerlang dalam sesuatu bidang ilmu yang kita usahakan, akan tetapi tidak mengenal hakikat Tuhan. 

Ilmu, semestinya tidak sama seperti maklumat. Ini kerana ilmu adalah sifat diri insani yang Tuhan kurniakan. Maklumat pula adalah objek-objek ilmu di luar diri insan. Oleh kerana itu penilaian terhadap tingginya ilmu seseorang dan sumbangannya, malah letak duduk ilmu yang dimilikinya itu tidak boleh diukur melalui objek-objek luaran manusia yang dicipta oleh manusia kerana ilmu sifatnya halus dan wujud dalam diri insan. Maka ilmu perlu dinilai dengan ilmu yang benar juga. Sebagai contoh, penilaian yang sering digunakan untuk mengukur kesarjanaan seseorang bukan semata-mata berdasarkan jumlah penerbitan yang dihasilkan, akan tetapi kualiti dan idea yang dipersembahkan melalui penghasilan karyanya; apa yang ditulisnya dan pengaruh idea dalam tulisannya. 

Di Mesir bersama urusetia WISE Mesir 2018

Oleh kerana itu, sebagai pelajar, kami juga diberi pengalaman secara langsung bagaimana sesebuah universiti sepatutnya berfungsi menurut kerangka falsafah yang sebenar, bukan menuruti kerangka asing yang mengandungi nilai, sistem, mahupun gerak kerja yang diamalkan dan dipaksakan ke sesebuah universiti. 

Oleh kerana falsafah dan tujuan RZS-CASIS sudah kukuh dan sepadu, pelajar-pelajar juga mempunyai arah yang jelas dari segi tujuan mereka menuntut ilmu. Bagi mereka, menyambung pengajian di CASIS mempunyai misi dan wawasan yang lebih luas dalam membangunkan diri peribadi mereka supaya menjadi insan yang baik, dan pada masa yang sama mempunyai wibawa ilmu yang tinggi dalam bidang-bidang ilmu yang mereka ceburi. Tidak semua yang masuk ke CASIS dilatih menjadi sarjana, kerana ada yang meneruskan kerjaya seperti peguam, pendidik, usahawan dan sebagainya, akan tetapi mereka semua diharapkan menjadi insan yang baik dalam setiap bidang mereka.

Dalam menyiapkan tesis M.Phil dan Ph.D, saya secara peribadi dan rakan-rakan di RZS-CASIS diminta untuk mengkaji dan menyelesaikan masalah-masalah umat Islam, sama ada masalah konsepsual atau amali dalam bidang yang dipilih. Kajian yang ingin dibuat bukan lagi menambah kekusutan masalah yang telah pun melanda umat Islam dengan mengeluarkan hasil kajian yang mengelirukan dan terpesong. Walaupun masing-masing mempunyai minat  bidang ilmu dan kekuatan yang tersendiri, setiap pelajar RZS-CASIS saling bertanya kepada pensharah-pensharah lain yang bukan menjadi penyelia mereka dan juga mengadakan perbincangan sesama pelajar, kerana banyak cadangan dan buah fikiran yang membantu untuk mengkayakan lagi proses penyelidikan yang dibuat. Prof. Zainiy pernah sebutkan, sekiranya pelajar sains mempunyai makmal beserta alat-alat dan mesin yang fizikal untuk mereka melakukan ujikaji dan menghasilkan sesuatu dari ujikaji tersebut, maka pelajar dalam bidang agama, falsafah, dan kemanusiaan juga mempunyai ‘makmal’ yang tersendiri untuk mengkaji objeknya, iaitu idea dan pemikiran. ‘Alat-alat dan mesin’ yang digunakan juga ialah ‘alat yang tidak fizikal’ iaitu adab dan rasional, bahasa, ilmu mantiq, dan alat kelengkapan ilmiah yang lain. Oleh itu penyelidikan dan pembelajaran di RZS-CASIS menurut hemat saya sangat tekun dan berdisiplin. 

Apabila wawasan dan misi universiti sudah jelas, kami secara reda dan sukarela membantu untuk menggerakkan dan seterusnya mengukuhkan peranan institusi seperti RZS-CASIS. Sebagai penerima Zamalah PhD di UTM, saya diberi tunjuk ajar oleh Prof. Wan untuk turut hadir bersama dalam mesyuarat penting di CASIS yang melibatkan penganjuran program dan menerima tetamu, seperti pertemuan bersama Shaykh Hamza Yusuf, (Allahyarham) Prof. Sabri Orman, dan ramai lagi.

Saya juga diberi peranan sebagai tutor untuk mengajar subjek Research Methodology dan menjadi tutor dalam beberapa sesi WISE Summer School yang dianjurkan oleh RZS-CASIS yang melibatkan peserta dalam dan luar negara yang pelbagai latarbelakang pendidikan dan profesional, termasuk menganjurkannya sehingga di Kaherah, Mesir dan Stokcholm, Sweden.

Dalam bidang penerbitan, saya diberi tunjuk ajar dengan teliti oleh Prof. Zainiy untuk menerbitkan buku-buku yang dihasilkan oleh sarjana dari CASIS dan luar CASIS. Proses penerbitan buku bermula dari pemilihan manuskrip, penelitian deraf, penyuntingan, perolehan ISBN dan Pengkatalogan-dalam-Penerbitan (PDP) dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sehinggalah kepada perancangan jualan. 

Lawatan WISE Summer School 2015 ke kampus lama ISTAC di Jalan Damansara

Saya tidak mempunyai data dan maklumat mengenai budaya ilmu di universiti lain, justeru saya tidak tahu bagaimana pengalaman sebenar itu dizahirkan. Namun bagi mereka yang pernah belajar di universiti yang mempunyai tradisi ilmu yang kuat dan kukuh, sama ada dalam atau luar negara, sudah pasti mereka akan berbangga dengan tradisi ilmu di tempat mereka belajar.

Ini adalah catatan ringkas saya untuk dikongsikan bersempena dengan ulangtahun sambutan RZS-CASIS yang ke-10 yang bersejarah tahun ini. Ada banyak lagi aspek yang baik yang boleh dikongsikan untuk dijadikan panduan dan sumber keberanian kepada mereka yang sedar dan jujur dalam perjuangan ilmu, dan pada masa yang sama, kita menyedari kelemahan yang boleh diperbaiki. Amatlah penting falsafah dan misi perjuangan RZS-CASIS sebagai sebuah ‘pohon kecil yang rendang’ yang sudah terbukti memperjuangkan pendidikan yang benar di universiti teknologi bertaraf dunia seperti UTM, walaupun dalam masa yang singkat ini, dibajai, disemai, diperkasakan dan diletakkan di tempatnya yang paling wajar.

Dr. Mohd Hilmi Ramli merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau memperolehi Ph.D di RZS-CASIS dengan kajian mengenai “An Analysis of Legal Person Using Taklīf and Shakhṣ I‘tibārī in Islām”, berdasarkan rujukan teks usul al-fiqh Talwīḥ ‘alā al-Tawḍīḥ li Matn al-Tanqīḥ fī Uṣūl al-Fiqh oleh al-Taftāzānī.Memperolehi M.Phil dalam kajian mengenai pemikiran ekonomi muḍārabah ulama Hanafi dalam Kitāb al-Mabsūṭ karya Imām al-Sarakhsī (m. 1090) di Pusat yang sama. Memperolehi Sarjana Muda (kepujian) Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islām Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Pasca Sarjana Perbankan dan Kewangan Islam dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IiBF), UIAM. Diamanahkan sebagai Pengerusi Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) dan terlibat sebagai penggerak awal penganjuran Wacana Pandangan Alam Islam (WISE), sehingga WISE berkembang di Kaherah, Mesir dan Stockholm, Sweden. Dalam WISE, beliau juga dilantik sebagai Pensharah dan Tutor. Beliau juga terlibat dalam industri perbankan Islam sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Shariah Deutsche Bank (Malaysia) Berhad.

For other reflection writings: