Disediakan oleh: Muhammad Zul-Faisal bin Omar (Pelajar Pasca Siswazah RZS-CASIS)

Sesi membicarakan mengenai Kristian dan semangat sekularisme yang memusuhi agama, pada bab ketiga ini, al-Attas membicarakan pula mengenai faham agama yang sewajarnya difahami oleh setiap Muslim bertepatan dengan wahyu Allāh Ta‘ālā dan ajaran Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam. Tanpa kefahaman yang benar mengenai agama, akan berlaku pula kekeliruan tentang Tuhan, iman, ilmu, akhlak yang kesemuanya ini merupakan antara intipati induk faham agama. Ia perlu dituntaskan supaya faham ini tidak lagi dipersoalkan. Jika tidak, akan berlaku pendangkalan faham agama di mana Islam hanya difahami sebagai ritual, ibadat semata-mata atau terhenti pada lima rukun sahaja. Tidak wajar Islam difahami sekadar apa yang Baginda Nabi sabdakan kepada seorang Badwi yang hanya ingin mengetahui bagaimana dia dijamin masuk ke Syurga sedangkan kita adalah manusia bertamadun yang kini sedang berhadapan dengan persoalan ketamadunan yang kompleks. Faham agama tidak mungkin boleh ditawarkan oleh kelompok literalis yang menolak perbahasan akliah yang mendalam, kelompok konservatif yang tidak mahu berijtihad mahupun kelompok modenis yang menolak perkara thawābit (tetap) malah cenderung pula mentafsir Islam secara menyeleweng tanpa mengikut ilmu yang diwariskan. Oleh kerana itulah, Al-Attas telah mengangkat semula faham agama yang telah dilupakan umat Islam dengan menerangkan perkataan agama di dalam bahasa Arab; iaitu dīn, berpandukan ijtihād beliau dan Ijmā‘ (kesepakatan) ulama sebelumnya.

Lisān al-‘Arab, oleh Ibnu al-Manẓūr

Berdasarkan kata akar dīn (دين) yang dikemukakan oleh Ibnu al-Manẓūr di dalam Lisān al-‘Arab, melalui pendekatan semantik, al-Attas telah berijtihad dengan menyatukan empat makna-makna utama yang setiap satunya membangun konsep tersendiri hingga dapat menjelmakan faham agama dengan sempurna. Makna pertama adalah ‘keadaan berhutang’ yang  diambil dari kata dayn (دَيْن) iaitu hutang, dā’in (دائن) iaitu penghutang atau pemiutang, dan daynūnah (دينونة) iaitu keberhutangan. Yang dikehendaki dari makna ini adalah keberhutangan secara rohani; di mana manusia berhutang kepada Allah yang menjadikan manusia itu wujud dan menjaganya pula. Makna kedua adalah ‘ketundukan dan penyerahan diri’ yang diambil dari kata dāna (دان) iaitu menundukkan. Inilah makna yang terdapat di dalam sabda Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam ((الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ)) yang bermaksud: “Orang yang cerdik adalah orang yang menundukkan dirinya dan beramal untuk apa yang akan datang setelah mati”. Dari perkataan dāna  juga, datangnya perkataan idānah ((إدانة)) iaitu ketundukan. Oleh kerana hutang insan kepada Tuhan amatlah besar, iaitu hutang kewujudan diri, maka insan hanya mampu membayarnya dengan penyerahan diri sendiri kembali kepadaNya sebagai hamba. Disnilah, zahirnya fitrah manusia untuk beribadah secara rela dan dia bebas dalam mengikuti kehendak Tuhan. Makna ketiga adalah ‘kuasa pemutus’ yang diambil dari perkataan dayyān (ديّان) iaitu penguasa dan yawm al-dīn (يوم الدِّين) iaitu Hari Pembalasan. Inilah makna yang terdapat di dalam kata-kata “كما تَدِيْنُ تُدَانُ” yang bermaksud “Sebagaimana kamu putuskan sesuatu ke atas orang lain, begitulah kamu akan dibalas”. Makna ini juga didapati dari kata malik (مَلِك) iaitu pemerintah dan ḥukm (حُكْم) iaitu undang-undang. Makna keempat adalah sifat bawaan semulajadi/alami yang terdapat di dalam perkataan dāna lahu (دان له). Ia membawa erti dhalla (ذَلَّ) iaitu menjadi hina dan aṭā‘a (أطاع) iaitu mentaati.

Dari makna-makna di atas, insan yang menyedari akan keadaan dirinya yang berhutang kewujudan ini akan mengakui bahawa dia sudah terikat untuk membayar semula hutangnya kepada Sang Pemiutang. Dengan rasa hina, dia lalu menunduk dan menyerahkan diri kepada Sang Penguasa dengan mentaati segala hukumNya. Perhimpunan makna-makna yang disebutkan itu juga terjelma dalam tiga urutan kehidupan; dīn (agama) akan memerlukan sebuah madīnah (kota) yang seterusnya akan membina sebuah masyarakat ber-tamaddun (peradaban) yang baik, yakni berasaskan agama (virtuous civilization). Inilah yang ditunjukkan oleh  Rasūlullāh ṣallalāhu ‘alayhi wa sallam setelah peristiwa Hijrah, Baginda mendirikan Kota Madīnah yang menandai awal peradaban Islam. Dapat difahami di sini, makna pertama dan kedua adalah melibatkan diri, manakala makna ketiga dan keempat pula merujuk kepada masyarakat yang memerlukan kerajaan atau sistem yang dapat mengurus diri-diri itu. Islam, dengan faham agama yang dibentangkan itu, merupakan intisari ‘ālam kabīr (makrokosmik) dimana Allah adalah pentadbir alam jagat raya. Manusia yang memikul amanah mentadbir ‘ālam ṣaghīr (mikrokosmik) iaitu dirinya sendiri pula, hendaklah mencontohi ketertiban yang ada pada ‘ālam kabīr itu. 

Di dalam bab ini juga, Dr. Khalif menegaskan bahawa al-Attas juga membicarakan mengenai teori moral dalam Islam. Jika dibandingkan dengan teori moral Barat, Islam telah banyak menjawab persoalan-persoalan teori moral yang tidak mampu dijawab oleh teori Barat. Kelompongan paling asas pemikiran Barat di sini adalah kerana mereka gagal mengenal hakikat manusia. Contohnya, David Hume menyatakan manusia mesti mengikut naluri sendiri untuk bahagia. Sebaliknya, kebahagiaan insan dalam Islam adalah apabila berjaya menundukkan hawa nafsu mengikut tuntutan Tuhan.

Kemudian, al-Attas menyebut beberapa buah hadith. Antaranya, berbunyi 

((من عرف نفسه فقد عرف ربه)) 

Yang bermaksud “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka dia akan kenal Tuhannya”. Kesahihan hadith ini dan selainnya yang disebut oleh beliau telahpun diperakui oleh ramai ulama yang berwibawa dan tidak wajar lagi dipertikaikan. Hadith ini adalah rujukan penting dalam membangunkan faham yang penting dalam ilmu Taṣawwuf.  Berhubungkait dengan makna ‘diri’, ia ditegaskan oleh al-Attas sebagai salah satu perkara thawābit (perkara tetap) di dalam agama, iaitu Perjanjian Asali; suatu perjanjian jiwa dengan Allah sejak azali, seperti yang diungkapkan di dalam Surah al-A‘rāf, ayat 172. Perkara ini menduduki tempat yang utama dalam faham agama. Perjanjian inilah yang menjadi landasan persaudaraan Islam, bukan sekadar persaudaraan sesama Banī Ādam tetapi lebih erat dari itu lagi sebagaimana digambarkan melalui persaudaraan antara Muhājirīn dan Anṣār. Persaudaraan ini adalah seimbang antara individu dan masyarakat.

Selanjutnya, maksud dan tujuan etika di dalam Islam adalah menumpu kepada diri individu. Seseorang menjadi baik adalah kerana Allah dan RasulNya telah memerintahkannya. Kesetiaan dan ketaatan yang sebenar hanyalah kepada Allah. Negara pula tidak boleh membebani manusia kecuali dengan sesuatu yang telah dipersetujui (social contract). Etika yang dibicarakan oleh ahli falsafah berhubung pula dengan kebahagiaan. Di dalam Islam, kebahagian yang dimaksudkan adalah yang berhubungkait dengan kepastian akan Kebenaran akhir (ultimate truth) dan terpenuhinya perbuatan yang sesuai dengan kepastian tersebut. Kepastian itu adalah mengenai kebenaran Tuhan dan nasib akhir manusia. Sebagaimana perjanjian (kontrak) sendiri jika ia dilanggar akan membawa kepada kecelakaan kepada orang itu, demikianlah juga orang yang berbuat salah atau jahat, yang mengingkari Allah, sebenarnya melanggar Perjanjian Asali. Oleh itu, dia telah berlaku tidak adil terhadap dirinya. Berbeza dengan teori moral Barat, Immanuel Kant mengatakan manusia bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu yang baik mengikut good will masing-masing. Tiada ketetapan baik buruk dapat dijadikan panduan oleh manusia.

Akhirnya, dibicarakan tentang dua jenis ilmu. Yang pertama, diberikan oleh Allah Ta‘ālā. Kedua, ilmu yang dicari dengan akal fikiran yakni ilmu pengetahuan. Ilmu yang diberikan oleh Allah Ta‘ālā  memerlukan pengabdiaan dan kedekatan denganNya yang dikenalis sebagai ilmu pengenalan. Di sinilah peranan Taṣawwuf yang didefinisikan oleh al-Attas sebagai pengamalan Sharī‘ah di maqām al-Iḥsān, merangkumi luasan kenyataan batin Islam. Melaluinyalah, kefahaman yang mendalam tentang Islam dapat dicapai.

Sesi ke-4 akan bersambung Khamis ini pada waktu yang sama, 9pm-10.20pm. Jika belum ikuti dan masih hendak mendaftar, boleh kehttp://tinyurl.com/IslamSekularisme