Pada 14 Jun 2021, Unit UTMAlumni telah menerima sumbangan 20,000 keping pelitup muka daripada syarikat Infinite M&E Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh alumni UTM.

Sumbangan ini telah diserahkan sendiri oleh Mr. Ir. Kong Chong Sang (Ir. CS Kong) yang merupakan Pengarah Urusan dan Mr. Saw Chee Wei (CW Saw) sebagai Pengarah di Infinite M&E Sdn. Bhd. kepada Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam bin Rasidi, Pengarah Unit UTMAlumni.

Sumbangan yang diberikan oleh syarikat Infinite M&E Sdn. Bhd. merupakan produk keluaran syarikat ini sendiri dan sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sumbangan pelitup muka ini akan diagihkan kepada semua mahasiswa UTM yang masih berada di dalam kampus bagi mencukupi stok keperluan perlindungan diri sepanjang berada di dalam kampus. Sumbangan ini juga merupakan salah satu tanggungjawab korporat sosial syarikat Infinite M&E Sdn. Bhd.

Infinite M&E Sdn. Bhd. telah mula ditubuhkan pada tahun 2008 yang memfokuskan kepada perkhidmatan dalam bidang-bidang mekanikal dan elektrik. Infinite M&E Sdn. Bhd. mampu menawarkan spektrum perkhidmatan yang luas merangkumi reka bentuk, bekalan, pemasangan, sokongan dan penyelenggaraan kemudahan bangunan serta menawarkan penyelesaian yang boleh dipercayai dan mampan bagi proses industri yang kritikal.

Unit UTMAlumni mengucapkan jutaan terima kasih di atas sumbangan yang di berikan dan semoga lebih ramai lagi alumni UTM yang tampil dalam menyumbang semula kepada universiti.