Unit UTMAlumni bukan sahaja memfokuskan kepada aktiviti pembangunan alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tetapi juga mengambil sikap proaktif dalam membantu alumni UTM yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya.

Bertarikh 10 Januari 2021, Unit UTMAlumni telah mengadakan satu program menyantuni alumni Program Senibina, Fakulti Alam Bina dan Ukur tahun 2005, Encik Faizal Rahmat yang mengalami penyakit Peripheral Vasular Desease (PVD), kondisi di mana beliau menderita gangguan pada saluran darah di jantung dan otak dan mudah mengalami kekejangan otot, arteri dan urat saraf. Penyakit ini juga menyebabkan kaki kiri beliau terpaksa dipotong hingga ke paras peha.

Lawatan ini diketuai oleh Pengarah Unit UTMAlumni iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam Rasidi bersama Timbalan Pengarah Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali dan Pengurusan Unit UTMAlumni Encik Mohd Faizal Abdul Jalal serta dua orang staf iaitu Cik Norhairunnisa Md Nasir dan Puan Saripah Rabi-ah Wan Mashor.

Encik Faizal Rahmat pernah bertugas sebagai seorang Arkitek di beberapa Firma Arkitek seperti di W5 Architect Sdn. Bhd., Veritas Architect Group dan SI Design Sdn. Bhd. sebelum menjadi artis 3D sepenuh masa. Minat dan kecintaan beliau pada senibina Melayu membuka ruang kepada beliau untuk terlibat sebagai ilustrator dengan beberapa projek penghasilan buku seperti Buku Rahsia Penaklukan Melaka 1511, Teknologi Kesultanan Melaka, dan buku Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyah & Kesultanan Melaka.

Beliau juga pernah menghasilkan beberapa naskhah rekabentuk hiasan dalaman Istana Negara Jalan Duta, Istana Besar Johor Bahru dan Singahsana dan Istana Hinggap Gua Musang.

Sesi lawatan yang mengambil masa sekitar 1 jam memberi peluang kepada Unit UTMAlumni menyelami kisah suka duka dan ketabahan Encik Faizal sepanjang mengharungi penyakit beliau ini. Dengan keadaan kini, beliau hanya mampu membuat kerja-kerja 3D dari rumah hasil tempahan daripada pihak korporat, syarikat atau individu.

Beliau memerlukan bantuan kewangan bagi tujuan pembedahan surgeri, penggunaan lampin pakai buang, ubat-ubatan, rawatan susulan dan kos sara hidup. Beliau juga memerlukan bantuan penyediakan peralatan kerja di rumah bersesuaian dengan keadaan beliau bagi tujuan memudahkan beliau membuat kerja-kerja 3D dirumah untuk menampung kos sara hidup.

Lawatan semalam menyaksikan Unit UTMAlumni menyerahkan sedikit sumbangan dan cenderamata kenangan kepada beliau yang disampaikan oleh Pengarah Unit UTMAlumni.

Bantuan ini adalah salah satu hasil dari inisiatif Unit UTMAlumni iaitu dengan mewujudkan “UTMAlumni Care Fund”, sebuah tabung yang bertujuan membantu mengutip dana bagi alumni UTM yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan kewangan.

Terdahulu, projek rintis Alumni Care Fund pada tahun 2020 telah berjaya mengutip sebanyak RM 25,000.00 dan dana tersebut telah disumbangkan untuk membantu seorang alumni yang mengalami kerosakan kedua-dua buah pinggang.

Projek Alumni Care Fund ini mensasarkan kutipan sebanyak RM 100,000.00 daripada alumni UTM dan orang ramai pada tahun 2021.

Semoga semua sumbangan dan bantuan kecil yang diberikan oleh dermawan dapat meringankan beban dan menceriakan mereka yang kurang bernasib baik.