News
Rumah Kos Rendah Menjimatkan dan Berkualiti
| Rumah Kos Rendah Menjimatkan dan Berkualiti |
|
|
|
Utusan Malaysia (Sains dan Teknologi), Khamis 7 Mei 2009 SEPANJANG tahun ini , Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan pembinaan 15,000 unit rumah di seluruh negara di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Untuk tujuan itu, perancangan teliti dari aspek pengurusan dan teknikal harus dititikberatkan bagi memastikan projek berkenaan berjaya. Secara amnya, di Malaysia terdapat pelbagai teknologi yang diaplikasikan untuk membina rumah kos rendah seperti sistem dinding konkrit, sistem dinding batu-bata dan sistem konkrit pratuang.
Tidak dinafikan sistem konvensional yang diaplikasikan itu memberi sumbangan yang besar dalam projek pembinaan rumah untuk membantu penduduk termiskin di negara ini. Namun hakikatnya, implementasi sistem berkenaan masih mempunyai beberapa kelemahan yang secara tidak langsung memberi kesan kepada projek pembinaan sama ada untuk jangka panjang atau pendek. Antaranya adalah seperti keengganan pihak kontraktor melaksanakan projek atas alasan ia tidak memberi keuntungan seperti yang diharapkan kesan daripada kenaikan kos pembinaan. Tambahan pula, kebanyakan kontraktor yang dilantik terdiri daripada kontraktor kelas F yang kurang berpengalaman serta mempunyai pengetahuan teknologi moden yang terhad. Dari aspek kualiti pula, pembinaan rumah menggunakan kedah konvensional mungkin tidak mencapai tahap kualiti yang ditetapkan selain masa yang panjang diperlukan untuk menyiapkan satu unit rumah. Di samping itu, kaedah pembinaan tersebut juga memerlukan tenaga buruh yang ramai dan ia tentunya akan meningkatkan kadar upah. Melihat kepada permasalahan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif membantu pihak kementerian dengan menjalankan beberapa kajian bagi mencari teknologi pembinaan dengan kos yang efektif dan sekali gus mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Justeru, bermula tahun 2006, UTM telah membentuk satu pasukan penyelidikan bagi mencari kaedah pembinaan terbaik, mudah dan menjimatkan. Hasil penyelidikan tersebut telah menghasilkan teknologi yang dikenali sebagai Fast-Track Wall (FTW) iaitu kaedah pembinaan rumah inovatif berasaskan sistem acuan modular menggunakan kombinasi bahan keluli dan plastik. Ia direka bentuk bersesuaian dengan konsep Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) namun menggunakan pendekatan komponen bangunan disediakan di tapak pembinaan. Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang, teknologi tersebut mampu mengurangkan kos pembinaan antara 20 hingga 30 peratus dan memendekkan masa sehingga 50 peratus. "Rumah PPRT dua bilik boleh disiapkan dalam masa 20 hari, manakala rumah tiga bilik dalam tempoh 25 hari. "Sistem ini juga mampu mengurangkan kos tenaga buruh sehingga 50 peratus berbanding kaedah konvensional,'' katanya pada sidang media di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kos membina rumah dua bilik hanya RM25,000, manakala rumah tiga bilik berkos RM27,000. Beliau memberitahu, pengenalan kepada teknologi itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen pihak universiti terhadap keperluan masyarakat dan negara. Sementara itu, Ketua Kumpulan Penyelidikan, Prof. Dr. Mohd. Zaimi Abd. Majid berkata, beliau bersama pasukannya menjalankan kajian berdasarkan konsep dan teknologi yang digunakan di Jerman dan juga Afrika Selatan. "Kita menggabungkan idea dan konsep tersebut untuk disesuaikan dengan keperluan tempatan. "Apa yang menarik, kesemua bahan asas membuat acuan iaitu keluli dan plastik boleh diperolehi dari dalam negara tanpa perlu diimport dan ia tentunya memberi keuntungan kepada negara,'' jelasnya. Implementasi acuan tersebut juga dapat mengurangkan penggunaan kayu dan seterusnya mampu mengurangkan pencemaran alam. Berbanding kaedah konvensional, rumah yang dibina menggunakan sistem FTW adalah lebih kukuh, mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap gegaran kecil, tahan lasak serta kurang memerlukan penyelenggaraan untuk jangka masa panjang. Bahagian dalam rumah yang selesa juga mampu mengurangkan penggunaan penyaman udara sekali gus dapat menjimatkan penggunaan elektrik. Menceritakan tentang pelaksanaan sistem FTW, Mohd. Zaimi memberitahu, projek tersebut dimulakan dengan penyediaan asas rakit sebagai platform rata yang menggunakan jejaring besi. Setelah siap, acuan FTW yang akan membentuk dinding diselaraskan untuk pemasangan komponen seperti kerangka pintu dan tingkap, jejari besi, paip dan pendawaian sebelum acuan diikat kemas secara menegak. Kemudian, bancuhan simen akan dicurahkan ke dalam acuan mengikut nisbah yang telah ditetapkan. "Dalam masa sehari sahaja, acuan tersebut sudah boleh dibuka dan ia akan membentuk dinding dengan permukaan yang licin dan rata. "Kos pembinaan juga dapat dijimatkan apabila acuan tersebut boleh digunakan secara berulang kali iaitu melebihi 50 kali,'' jelasnya. Apa yang menarik, dinding rumah berkenaan juga tidak memerlukan tiang kerana ia telah disokong oleh sambungan di antara dua dinding yang menjadikannya lebih kukuh. Akhir sekali, bagi melengkapkan rumah tersebut, struktur bumbung dan kekisi angin akan dipasang selain kemasan lantai dan juga mengecat dinding. Walaupun pada peringkat permulaan sistem FTW hanya diaplikasikan untuk pembinaan rumah kos rendah, namun konsep tersebut boleh digunakan untuk pelaksanaan projek yang lebih besar. "Sistem ini juga boleh digunakan untuk pembinaan di kawasan berisiko tinggi seperti tanah tinggi selain kami juga sedang menjalankan kajian terperinci untuk aplikasi pembinaan rumah empat tingkat pada masa depan,'' jelasnya. Setakat ini, prototaip untuk empat buah rumah satu tingkat dan sebuah rumah berkembar telah dibina kawasan di Muar, Johor serta sebuah madrasah di Tangkak. Sebuah lagi rumah akan dibina di UTM kampus Skudai untuk kegunaan pembelajaran pelajar. Sistem FTW bakal diperkenalkan kepada beberapa agensi kerajaan yang berminat untuk diimplementasikan dalam projek pembangunan perumahan yang mereka kendalikan. "Kita akan memberi latihan kepada pihak kontraktor yang berminat dan dengan cara ini juga mampu menyelesaikan masalah keengganan kontraktor melaksanakan projek PPRT,'' katanya. Selain itu, ia juga diharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh mahir atau pengambilan terlalu ramai tenaga buruh asing. Sistem yang pernah memenangi pingat gangsa dalam Anugerah Penerangan Kajian dan Reka Cipta Antarabangsa untuk institusi pengajian tinggi (IPT) 2007 itu sedang dalam proses dipatenkan oleh agen yang telah dilantik. |
|||
| < Prev | Next > |
|---|










