Gambar maal hijrah Final webAssalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Alhamdulilah, marilah sama-sama kita menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas limpah rahmat dan hidayahNya, kita diberi peluang bertemu dengan Tahun Baharu Hijrah 1436H. Detik 1 Muharam 1436H bersamaan 25 Oktober 2014 ini, seharusnya menjadi satu titik untuk seluruh warga UTM melangkah lebih jauh ke hadapan secara kolektif dan penuh semangat berdasarkan gagasan kesepakatan, keterangkuman dan keterlibatan.

Sesungguhnya, jika diimbau kembali sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan syiar Islam kepada seluruh ummah, terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari, dihayati dan diteladani untuk menempuh kehidupan hari-hari mendatang. Kecekalan baginda Rasulullah S.A.W menempuh pelbagai cabaran, kekuatan mengharungi dugaan dan kebijaksanaan menyelesaikan banyak masalah, mewajarkan seluruh warga UTM hayati dan aplikasikan dalam menyempurnakan pelbagai tugasan dan tanggungjawab dalam pengajian tinggi yang telah diamanahkan sebagai warga universiti untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.

UTM kini memasuki fasa kedua Pelan Global UTM yang memerlukan seluruh warga UTM sama-sama bersatu hati, berganding bahu dan saling bekerjasama dalam melakukan anjakan paradigma berimpak tinggi bagi memastikan segala cita-cita dan perancangan yang dibuat secara bersama dilaksanakan dengan jayanya. Kita juga menghayati dasar kerajaan berasaskan gagasan wasatiyyah demi kemajuan negara, kemakmuran rakyat dan kesejahteraan hidup beragama. Hal ini amat bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun 1436H ini iaitu “Perpaduan Nadi Tranformasi Negara”.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar ketibaan tahun 1436H akan menatijahkan kehidupan kita yang lebih baik, penuh keberkatan dan memperolehi kebahagiaan dan kerahmatan dari Allah S.W.T.

Sekian, wassalam.

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar

Naib Canselor