Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum.wrt.wbkth,
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan sifat Rahman dan Rahim-Nya, kita sekali lagi dipertemukan dengan Hari Raya AidilAdha. Marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa taala yang memberi kita kesempatan untuk bersama meraikan hari mulia ini.

Kita maklum, sambutan Aidil Adha sinonim dengan ibadah korban yang dilaksanakan oleh umat Islam seluruh dunia pada 10 hingga 13 Zulhijjah. Amalan mulia Aidil Adha dizahirkan dengan membelanjakan harta benda dan wang ringgit dalam batas yang sewajarnya bagi tujuan korban, menandakan kesyukuran kita kepada Allah S.W.T. yang mana ibadah korban itu juga dapat membantu orang yang kurang berkemampuan, khususnya fakir miskin, dalam menikmati juadah daging korban.

Jelas sekali, kesanggupan berkorban dengan mendermakan kekayaan untuk membantu yang kurang mampu sangat dituntut dalam Islam. Sebagai warga UTM, kita perlu bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Kita perlu lebih bersedia berkorban dalam apa jua bentuk, sama ada tenaga, fikiran, mahupun wang ringgit untuk kebaikan bersama. Bagi tujuan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan dan seterusnya mengurangkan pergantungan kepada kerajaan, marilah kita berkorban wang ringgit mengikut kemampuan dan sama-sama terus menyumbang kepada Tabung Endowmen UTM.

Namun, konsep pengorbanan yang dituntut oleh Islam tidak hanya berupa harta benda atau wang semata-mata, malah juga merangkumi pengorbanan masa, tenaga, fikiran, hatta pengorbanan jiwa demi kebaikan agama, bangsa dan Negara. Justeru, marilah kita sebagai warga UTM menghayati konsep pengorbanan sebenarnya kerana “kejayaan tidak akan datang bergolek dan tidak akan datang melayang.” Kejayaan UTM Global 2020 yang diidamkan memerlukan pengorbanan, komitmen dan kerjasama seluruh warga UTM.

Akhir kata, saya serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga UTM. Bagi yang berada di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah, selamat mengerjakan ibadah haji dan semoga mendapat haji yang mabrur. Kepada yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid bagi meneguhkan ketakwaan kita.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar
Naib Canselor