Sebagai salah satu langkah proaktif bagi mewujudkan kampus lestari, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan Unit Rondaan Berbasikal bagi menjaga keselamatan harta benda dan warga kampus. Ia sepenuhnya di bawah penyeliaan dan tanggungjawab Bahagian Keselamatan.
Pengarah Bahagian Keselamatan, Halim Adam berkata, unit berkenaan yang ditubuhkan pada Januari lalu selaras dengan konsep pelestarian kampus untuk mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor yang menyumbang kepada pencemaran udara. Penggunaan basikal oleh anggota unit keselamatan membolehkan mereka membuat rondaan ke kawasan bangunan dan tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran. Malah penggunaan basikal membolehkan anggota unit keselamatan membuat pemantauan hingga ke kawasan bangunan akademik dan penginapan mahasiswa, selain mewujudkan suasana mesra warga kampus.
Rondaan dibuat antara pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang di kawasan lingkaran ilmu manakala pemantauan di kolej kediaman antara 3.30 petang hingga 11 malam setiap hari.
Unit tersebut dianggotai oleh 11 orang yang dipilih daripada 30 pemohon yang berjaya melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan selepas menjalani latihan intensif selama sebulan. Kriteria pemilihan dibuat berdasarkan berdasarkan faktor fizikal, kesihatan dan kemahiran menunggang basikal dalam pelbagai situasi mencabar.
Semoga tertubuhnya unit berbasikal, akan dapat membantu warga kampus dalam mewujudkan suasana aman dan harmoni.

