Laporan Kemalangan

PROSEDUR MELAPOR KEMALANGAN/KEBAKARAN Pendahuluan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) telah diwartakan pada tahun 2004 di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Melalui Peraturan – Peraturan ini, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dikehendaki:

  • Untuk menyiasat aduan, laporan atau apa-apa perkara di tempat kerja yang dianggap tidak selamat atau sihat kepada majikan.
  • Melaksanakan kajian terhadap trend dan statistik kemalangan, penyakit dan keracunan pekerjaan, dan kajadian berbahaya, dan seterusnya mengenalpasti langkah-langkah pengawalan.
  • Mengkaji semula dasar dan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang diambil di tempat kerja, dan mengemukakan cadangan kepada majikan mengenai semakan semula sekiranya perlu.

 Objektif

Objektif prosedur ini adalah untuk:

  • Menjelaskan langkah-langkah tindakan semasa berlakunya kemalangan di UTM.
  • Menyiasat punca-punca dan penyebab berlakunya kamalangan serta melaksanakan tanggungjawab kebajikan.
  • Mencegah daripada berulang kemalangan yang sama.
  • Memenuhi kehendak undang-undang yang disyaratkan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan peraturan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Skop

  • Skop ini hendaklah digunapakai semasa menyediakan laporan aduan, kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan, penyakit pekerjaan dan penyiasatan di UTM.
Tanggungjawab
  • Semua kakitangan, kontraktor, pelajar serta pelawat hendaklah bertanggungjawab untuk melaporkan segala kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di UTM.
  • Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan hendaklah bertanggungjawab melaksanakan prosedur melapor aduan, kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan, penyakit pekerjaan dan penyiasatan.
Prosedur Melaporkan Kepada Unit OSHE
  • Semua kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di dalam UTM sama ada mengalami kecederaan atau tidak, hendaklah dilaporkan kepada Ketua Jabatan/ Ketua Bahagian/ Ketua Unit dengan segera.
  • Ketua Jabatan/Ketua Bahagian/Ketua Unit bagi setiap jabatan kemudiannya perlu memastikan bahawa setiap kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di bahagian masing-masing dilaporkan kepada Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTM. Laporan tersebut hendaklah dibuat dengan segera setelah kejadian tersebut berlaku di Jabatan masing-masing.
  • Selain itu, Pusat Kesihatan UTM juga perlu melaporkan kepada Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTM, sekiranya terdapat mangsa yang diberi rawatan oleh Pusat Kesihatan UTM.
  • Sekiranya terdapat mana-mana staf, pelajar atau pelawat yang berurusan dengan Universiti yang ingin membuat sebarang aduan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTM, Borang Aduan perlu diisi dan dihantar kepada Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTM.
  • Butiran kemalangan atau kejadian perlu direkodkan di dalam borang yang disediakan.
    1. Semua ruangan yang terdapat di dalam borang perlulah diisi dengan jujur dan ikhlas. Keterangan yang diberikan akan membantu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak kemalangan yang serupa daripada berulang.
    2. Borang yang telah siap diisi perlu dihantar kepada Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTM untuk tindakan selanjutnya.
  • Bagi kes kemalangan yang serius, kawasan kemalangan hendaklah tidak diganggu, kecuali untuk mencegah kemalangan yang lebih serius dan memudahkan laluan bantuan.
Menjalankan Siasatan
Aduan atau laporan yang diterima oleh Unit Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTM akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.

  • Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti akan menjalankan siasatan berhubung kejadian/aduan tersebut sebaik sahaja menerima aduan atau laporan tersebut dan seterusnya langkah susulan serta tindakan akan diambil.
  • Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti juga akan mengambil gambar-gambar dan bahan-bahan bukti di tempat kejadian untuk dikaji.
  • Maklumat serta keterangan daripada mangsa kemalangan, saksi kemalangan, Ketua Jabatan/Ketua Bahagian/Ketua Unit atau mereka yang berkenaan akan diambil dan diisi ke dalam Borang Laporan Kemalangan.
  • Hasil penyiasatan kemudian akan dilapor dan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti yang akan datang untuk tindakan selanjutnya/ sebagai makluman dan tindakan seterusnya oleh Ahli  Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan pihak dari bahagian atau unit yang terlibat.
  • Laporan seterusnya akan dihantar kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Johor.