SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak semalam mengingatkan siswa agar tidak mudah termakan hasutan dan janji manis pihak yang hanya suka menjual janji tetapi tidak mampu menunaikannya.
“Saya jamin di bawah kerajaan ini, insya-Allah hari esok akan lebih baik daripada hari ini,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dengan misi mempromosi keamanan dunia dan memupuk semangat setia kawan melalui khidmat masyarakat di dalam dan luar negara.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Najib berkata, beliau yakin dengan jaminan Mohamed Khaled yang menyebut siswa tidak akan biarkan ‘berjalan keseorangan’.
“Kalau ada seorang siswa nak turunkan gambar saya, banyak lagi yang nak naikkan gambar saya. Sudah menjadi lumrah dan adat, tak apa. Dalam demokrasi, kita tidak boleh dapat 100 peratus.
“Kalau dapat 100 peratus, dia kata kita tipu, tetapi saya percaya dengan kematangan siswa. Saya yakin kepada mereka, sebab itu bila pertimbang nak pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), saya dan rakan (Kabinet) buat keputusan pinda AUKU kerana asasnya kita percaya kepada siswa kita, boleh berfikir secara matang.
“Saya tekankan soal kebebasan, tetapi dengan tanggungjawab. Falsafah kita apabila pinda AUKU, insya-Allah siswa kita ada peluang, boleh pergi mana, dengar ceramah siapa pun, boleh jadi ahli parti mana pun, tetapi dalam kampus kena tumpu pelajaran,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan bukan hendak mengongkong sebaliknya siswa perlu membuat pertimbangan secara matang dan bijaksana kerana mereka penentu masa depan negara.
Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi YSS, penajaan YSS dan duta universiti sebelum menghadiri sesi ‘Teh Tarik’ bersama wakil pelajar.
Antara penerima watikah itu ialah Chambers of Zuraidah Atan, Datuk Zuraidah Atan selaku Pengerusi YSS; Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat, masing-masing sebagai ahli YSS.
Saya percaya dengan kematangan siswa. Saya yakin kepada mereka, sebab itu bila pertimbang nak pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), saya dan rakan (Kabinet) buat keputusan pinda AUKU kerana asasnya kita percaya kepada siswa kita, boleh berfikir secara matang. Saya tekankan soal kebebasan, tetapi dengan tanggungjawab. Falsafah kita apabila pinda AUKU, insya-Allah siswa kita ada peluang, boleh pergi mana, dengar ceramah siapa pun, boleh jadi ahli parti mana pun, tetapi dalam kampus kena tumpu pelajaran. – Datuk Seri Najib Razak
[sumber]
15 Mac – MPMUTM terus memacu isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kepentingan mahasiswa apabila kertas kerja yang dibentangkan semasa Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) November lalu disambut baik oleh pihak kementerian.
November lalu, MPMUTM yang diwakili oleh saudara Presiden MPMUTM, Wan Ahmad Hazman telahpun membentangkan kertas kerja bertajuk rasionalisasi pengurangan subsidi dan di dalam kertas kerja tersebut juga ada diselitkan permohonan agar diberikan kad diskaun kepada mahasiswa sebagai meringankan beban mahasiswa akibat kenaikan harga barang.
Akhirnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan bahawa akan memperkenalkan kad diskaun tersebut kepada semua mahasiswa baik di IPTA mahupun IPTS.Ianya diungkapkan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pengguna Siswa Kebangsaan dan hal ini turut dinyatakan di salah sebuah laman web media utama di Malaysia.
Beliau berkata, kementerian kini berbincang dengan pedagang besar yang terbabit dalam perniagaan seperti kedai buku, barangan sukan dan syarikat pengangkutan bagi membolehkan mahasiswa menikmati diskaun apabila membeli-belah.
“Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan. Banyak perbincangan semasa MPPK didengari oleh pihak kementerian. Kedai Rakyat 1 Malaysia, portal Career4U dan kini kad diskaun. Semoga kemudahan-kemudahan ini menjadi batu loncatan untuk membantu para mahasiswa” ulas Wan Ahmad Hazman di laman ‘twittter’ beliau.
12 Mac – Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM tetap optimis meneruskan tugas-tugas mereka walaupun sudah hampir ke tarikh pembubaran dengan mengadakan sidang pertama Mesyuarat Pengerusi-Pengerusi Kolej (MPPK) bagi sesi 2012. Mesyuarat yang berlangsung di Kolej Tun Fatimah telah dihadiri oleh Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) kolej kediaman dan beberapa orang ahli MPM yang terdiri daripada Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus dan beberapa orang ahli Majlis Tertinggi MPM.
Mesyuarat dimulai dengan ucapan tahniah dan syabas kepada kepimpinan baru JKM yang disampaikan oleh Naib Presiden Kolej merangkap pengerusi MPPK, saudara Nor Hasrul Akhmal Ngadiman. Saudara Hasrul juga mengingatkan kepada kepimpinan yang baru supaya lebih komited dan berpegang kepada amanah yang diberikan.
Mesyuarat diteruskan dengan penerangan carta alir aduan kebajikan di kampus yang oleh saudara Nazrin, Ketua Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus (JKPK) diikuti dengan aduan kebajikan dari setiap wakil kolej yang hadir.
Selain isu kolej seperti bas, perkhidmatan wifi, serangan haiwan liar dan sebagainya,beberapa pengerusi kolej antaranya dari Kolej Tun Razak (KTR) dan Kolej Datin Sri Endon (KDSE) menyampaikan ucapan terima kasih kepada usaha Rukun Tetangga Mahasiswa (RTM) yang sedikit sebanyak membantu usaha-usaha murni dalam membanteras budaya kurang bermoral di dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, MPM juga berharap agar kerjasama yang lebih erat mampu dilakukan dengan JKM-JKM setiap kolej bagi memastikan kelancaran serta isu-isu yang melibatkan mahasiswa tidak dipandang sepi.
Aduan-aduan yang telahpun diutarakan akan dikumpulkan untuk persediaan menghadapi Mesyuarat Kebajikan Mahasiswa (MKM) untuk semester 2 2011/2012 ini.


