+607 - 533 3197 / 2236 / 2300 / 2182 konvo@utm.my

TEKS UCAPAN YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UTM KE-55

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
MAJLIS PENGANUGERAHAN
IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN UTM

SABTU, 24 OKTOBER 2015
DEWAN SULTAN ISKANDAR UTM,

Bismillahirahmanirahim

1. Mengadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor, merangkap Canselor Universiti Teknologi Malaysia.

Ampun Tuanku,

2. Sesungguhnya, keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor pastinya akan menyemarakkan lagi semangat dan memberi inspirasi kepada UTM selaku institusi pendidikan yang terbaik bukan sahaja di rantau ini malah di peringkat antarabangsa.

3. Patik percaya di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri, matlamat dan misi Universiti Teknologi Malaysia akan dapat terus disuburkan sebagai peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif sekaligus berupaya menyumbang kepada penciptaan kekayaan Negara. InshaAllah.

Ampun Tuanku,

Patik mohon limpah perkenan Tuanku Canselor untuk berucap sepatah dua kata kepada hadirin sekalian.

Ampun Tuanku,

Yang Berbahagia Pro Canselor UTM,

Yang Berbahagia Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah UTM,

Yang Berbahagia Profesor Datuk Dr. Ir. Wahid bin Omar,
Naib Canselor UTM,

Yang Berbahagia Naib-naib Canselor Universiti Awam,

Yang Diraikan Graduan-graduan sempena Konvokesyen UTM ke-55 pada hari ini,

Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta para hadirin yang dihormati sekalian,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

Tuanku Canselor,

1. Alhamdullilah, tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Dengan rasa rendah diri, saya amat menghargai dan berterima kasih atas penghormatan luar biasa Universiti Teknologi Malaysia terhadap diri saya.
2. Sekalipun benar ada tempias jasa saya pada negara dan bangsa, ia pasti tidak setimpal untuk melayakkan saya menerima Ijazah Kehormat Doktor pada pagi ini.

3. Lalu saya ingin kongsikan penghormatan ini dengan seluruh rakan taulan, keluarga dan para pegawai saya yang telah bertungkus lumus membantu saya sepanjang khidmat saya. Tanpa mereka, saya pasti tidak sampai ke kedudukan sekarang.

Tuanku Canselor,

4. Umum mengetahui, saya pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini. Dan saya harus akui, antara pengalaman mentadbir pelbagai kementerian, KPT adalah yang paling meninggallkan kesan besar pada diri saya.

5. Justeru, hari ini saya memilih untuk berucap tentang sesuatu yang sangat dekat di hati saya. Iaitu bagimana universiti harus berperanan membangunkan bangsa dan tanahiar.

6. Sesungguhnya pendidikan tinggi adalah instrumen pengislahan bangsa yang paling penting untuk sesebuah negara.

7. Perhatikanlah pencapaian Malaysia selama lima dekad lepas. Segala pencapaian yang memberangsangkan tersebut adalah ekoran daripada ikhtiar para pendiri bangsa kita, yang membuka seluas-luasnya peluang dalam pendidikan tinggi.

8. Kerana mereka dan kita semua sangat percaya, bahawa kejayaan ekonomi yang hebat, kebangkitan bangsa yang bermaruah, dan kemunculan negara yang disegani, memerlukan bakat terbaik bangsa dibongkar dan diiktiraf.

9. Menyediakan pendidikan yang tidak membeza-bezakan lelaki dan wanita, yang tidak membeza-bezakan pelbagai golongan etnik dan keturunan, dan yang tidak membeza-bezakan mereka yang miskin dhuafa mahupun yang kaya raya.

Para Graduan dan Pendidik,

10. Masa depan Malaysia dan bangsanya bergantung pada kemanfaatan ilmu pengetahuan. Bukan sumber mineral atau kekayaan hasil bumi semula jadi.

11. Saya yakin, jika sejarah kurun lepas dan kurun ini mahu ditulis, maka keruntuhan Tembok Berlin pada tahun 1989, atau berakhirnya Perang Dingin pada tahun 1991, atau peristiwa 9/11, atau kempen memerangi keganasan tidak lagi akan menjadi cerita utama.

12. Cerita utama ialah bagaimana dalam dua dasawarsa kurun ini, seramai hampir 2 bilion orang manusia hidup dalam kemodenan.

13. Cerita tentang bagaimana mana kehidupan manusia dalam alam digital bergabung dan saling berkait. Cerita tentang bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah landskap politik global dan demografi masyarakat dunia secara amat ketara.

14. Kesemua ini sebenarnya adalah kerana peranan besar yang dimainkan oleh universiti.

15. Dan atas dasar inilah, saya ingin menyeru bahawa kita harus senantiasa menjadikan universiti kita sebagai institusi terbaik milik bangsa. Tidak boleh tidak.

16. Persoalannya, bagaimana menjadikan universiti kita, institusi terbaik bangsa?

17. Ada banyak cara. Namun pastinya bukan dengan budaya KPI. Pastinya bukan dengan intervensi politik. Dan pastinya bukan dengan pelbagai klasifikasi demi klasifikasi yang kabur pada peranan sebenar universiti.

18. Universiti terbaik adalah universiti yang mencurahkan segala usahanya untuk amal dan bakti. Bukan martabat, bukan juga upacara.

19. Misi serta segala sumbernya mesti digembleng untuk membantu penyelesaian masalah manusia sejagat. Bukan mengejar gelaran dan prestij.

20. Universiti punya tanggungjawab pada masyarakat, pada semua kaum, semua lapisan masyarakat. Yang miskin, yang berbeza aliran kepercayaan dan politik, dan pada masyarakat antarabangsa.

21. Masyarakat sekeliling dan negara ini harus menerima manfaat dari limpahan khazanah ilmu universiti. Universiti, secara tradisinya adalah institusi yang paling berpengaruh dalam masyarakat.

22. Sepanjang sejarah peradaban manusia, terlalu banyak contoh yang menunjukkan betapa institusi daya akal seperti Universiti Al Azhar dan kutub kannah (perpustakaan) seperti Bait Al Hikmah di Cordova Sepanyol, telah mengeluarkan masyarakat dari belenggu kejahilan.

23. Malah, institusi-institusi daya akal inilah yang menjadi kekuatan sesebuah peradaban awal dahulu.

24. Maka, sebagai institusi daya akal tempatan, UTM harus bangkit menjadi medan dan daya yang memacu pembangunan dan pemodenan negara, khususnya Negeri Johor.

25. Telah 30 tahun UTM di Johor. Inilah tanah tumpah UTM. Di Johorlah segala sejarah telah tercipta. Maka teruskanlah kebaktian kalian pada Johor dan Malaysia.

26. Johor harus jadi persada kalian memanfaatkan segala kebijakan dan ilmu, untuk kesejahteraan dan kebaikan masyarakat. Janganlah jadikan Skudai dan masyarakatnya satu-satunya dunia kalian.

27. Dan ingatlah, tugas kalian tidak cukup sekadar melahirkan graduan. Tidak cukup sekadar menganugerahkan ijazah. Tidak cukup sekadar mempunyai fasiliti kajian dan penyelidikan.

28. Kerana Johor yang semakin pesat membangun, Johor yang semakin kompetitif, dan Johor yang semakin berkesejahteraan, sangat mendambakan ilmu dan pemikiran kalian.

29. Lalu kerana itu, dharma bakti, kebajikan serta pengahkupayaan masyarakat harus terus menjadi visi dan misi utama universiti ini.

Hadirin hadirat sekalian,

30. Dalam usaha kita menjadikan universiti institusi terbaik bangsa, seperkara lagi yang harus kita lakukan adalah meraikan idea, kreativiti dan pemikiran unggul.

31. Pada saya, universiti terbaik adalah universiti yang membenarkan sesuatu idea itu diiktiraf atau dihakimi kerana kualiti dan kekuatannya. Dan bukan mempersoalkan pihak yang mencetuskannya.

32. Walaupun idea itu bukan dari seorang Profesor tersohor atau sarjana terbaik kita. Biar idea itu datang dari siapa sahaja sekalipun. Baik mahasiswa yang masih mentah atau anak-anak di bangku sekolah. Jika ia bernas, raikan, kembangkan, dan sebar luaskan.

33. Sebab itulah hari ini, di luar sana, orang telah mula bercakap tentang kematian hairarki. Mereka sudah mula menekankan tentang pentingnya kerja berpasukan, tentang pentingnya kreativiti, tentang perlunya pemikiran alternatif.

34. Maka, barangsiapa yang punyai idea besar, raikan idea itu. Tidak kiralah kecil atau besarnya nama orang yang mencetuskan idea itu.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

35. Saya menyeru pada hari yang sangat berbahagia ini, marilah kita, secara kolektif, mempertahankan kebebasan universiti dan masyarakatnya.

36. Biarkan ia menjadi katalis pencerahan bangsa, menjadi institusi penengah dan menjernihkan segala kekusutan serta kemaslahatan bangsa dan negara.

37. Justeru itu, universiti bukan sekadar harus bebas. Ia harus ada pendirian. Pendirian yang dibina dengan ilmu, dengan wibawa dan dengan prinsip.

38. Percayalah, tatkala negara dan bangsa berhadapan dengan segala macam kemelut, cabaran dan kemaslahatan, universiti perlu tampil.

39. Tampil dengan pandangan dan hujah yang konstruktif. Tampil dengan idea yang lebih besar dan lebih maju. Tampil dengan rasa bertanggungjawab yang sangat mendalam untuk kebaikan dan demi pencerahan.

40. Kerana pendirian saudari-saudari, selaku cendiakawan bangsa, pasti mampu memberikan dimensi berbeza kepada setiap permasalahan. Dan pastikan pendirian tersebut, terangkum dengan spektrum pemikiran dan olahan idea yang pragmatik, moden dan terkini.

Tuanku Canselor,

41. Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan menyeru, agar semua kita, yang hadir pada hari sangat istimewa ni, membulatkan azam untuk menjadikan universiti ini sebagai institusi daya akal terbaik milik bangsa.

42. Kepada semua Graduan, hari ini, pasti akan dikenang selamanya. Tapi janganlah ia sekadar dikenang. Jadikan hari ini, titik mula kalian untuk memberi sebanyaknya kepada keluarga, kepada bangsa dan kepada tanahair.

43. Jadilah warga yang berguna pada watan hendaknya. Dan setinggi tahniah atas kejayaan besar ini dalam hidup kalian. Semoga lebih banyak lagi kejayaan besar akan menjelma dalam kerjaya dan hidup kalian.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, hadirin-hadirat yang dikasihi sekalian,

44. Sekali lagi sekalung penghargaan patik ucapkan atas penghormatan luar biasa ini. Kepada UTM dan warganya juga, terima kasih sekali lagi atas penghargaan besar ini. Saya pasti akan mengenang momen ini selamanya. Sebagai momen sangat istimewa. Sebagai peringatan bahawa lebih banyak lagi yang perlu saya lakukan untuk Johor dan rakyatnya, insha-Allah.

45. Selamat maju jaya kepada semua.

Sekian.