+607 - 533 3197 / 2236 / 2300 / 2182 konvo@utm.my

Info Terkini Konvo ~ 3 November 2014

Kemahiran Bernilai Tinggi Penting untuk Graduan

TanSriDatoDrYahya

Tan Sri Dato Dr. Yahya Awang, Pro Canselor

Johor Bahru, 2 November – Dalam memastikan graduan UTM relevan dan bernilai tinggi kepada pihak stakeholders, pihak Universiti sentiasa menyemak dan menganalisa keperluan modul/kurikulum mengikut arus pasaran. Untuk itu pihak universiti seperti dalam ucapan konvokesyen ke 53 baru-baru ini oleh Yang Berbahagia Pro Canselor, Tan Sri Dato Dr. Yahya Awang, semua graduan telah diterapkan dengan kemahiran insaniah yang sepatutnya dipraktikkan dalam profesion masing-masing. Pada masa ini contohnya kemahiran bahasa Inggeris adalah antara tiket untuk graduan bersaing di bidang pekerjaan masing-masing. Ini lebih-lebih lagi untuk bersaing di peringkat global. Syarikat multi nasional sentiasa melihat nilai tambah ini khasnya bagi graduan bidang teknologi.

Menurut Pro Canselor “Saya suka mengingatkan bahawa sebagai graduan, inilah detik perjalanan hidup anda untuk menjadi seorang yang lebih berdaya saing dan cemerlang sehingga akhir hayat sepertimana yang digariskan oleh Falsafah Pendidikan Negara serta jangan lupa – “ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Dalam pada itu, saya menjangkakan ada juga graduan yang berhadapan dengan kesukaran dan cabaran untuk mendapat pekerjaan yang diidamkan. Kepada mereka itu, saya nasihatkan supaya bersabar, sentiasa berfikiran positif kerana peluang pekerjaan bagi mereka yang berkelulusan sains dan teknologi ini tidak sukar dengan terlaksananya pelbagai inisiatif transformasi Kerajaan. Apatah lagi saudara dan saudari adalah graduan UTM yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri yang merupakan modal insan Negara sangat berpotensi sama ada di dalam mahupun di luar Negara.’

Impak dari sasaran tersebut, Pro Canselor meminta semua pihak termasuk mahasiswa, pensyarah dan pegawai pelaksana dengan sepenuh hati menyokong pihak Universiti memperkasakan pelaksanaan matlamat yang telah ditetapkan. Pihak warga Universiti sudah semestinya tanpa berbelah bagi membantu pihak kepimpinan Universiti untuk melaksanakan agenda transformasi pengajian tinggi Negara dan meneruskan transformasi di bawah pucuk pimpinan YBhg. Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar seiring dengan tema “Consensus, Inclusiveness and Engagement” iaitu “Kesepakatan, Keterangkuman dan Keterlibatan”.

 

Kerjasama dan Penambahbaikan Berterusan Jamin Kecemerlangan Universiti Teknologi Malaysia

Johor Bahru, 2 November – ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Perumpamaan inni memang tepat dan wajar dilaksanakan dalam kehidupan kita samada di kalangan mahasiswa, pemimpin waima pegawai serta pensyarah Universiti teknologi Malaysia. Menurut Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor UTM semasa menyampaikan ucapan konvokesyen yang lepas, ‘Sesungguhnya deretan kejayaan dan kecemerlangan universiti serta pelbagai pencapaian yang membanggakan sudah tentunya menjadi pemangkin untuk seluruh warga universiti mengatur langkah, meningkatkan usaha dan memantapkan strategi bukan sahaja dengan melangkah dan berlari malah lebih yakin untuk terbang lebih tinggi bagi mencipta kejayaan-kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan.’ Kejayaan yang dimaksudkan ini semua adalah hasil kerjasama yang tidak berbelah bahagi dari seluruh warga universiti.

DatoNC

Datuk Naib Canselor

Bagi tahun 2014, antara kejayaan ini termasuklah:

  • Kenaikan QS Ranking 2014 di mana UTM telah merekodkan pencapaian terbaik sepanjang penubuhannya apabila menduduki tangga ke-294 iaitu peningkatan sebanyak 61 anak tangga yang merupakan tertinggi di Malaysia.
  • UTM turut mencatat sejarah dengan kejayaan seorang mahasiswanya yang diiktiraf sebagai penerima PhD termuda di Malaysia.
  • Pada konvokesyen kali ini, UTM turut meraikan graduan sulung program PhD Industri yang merupakan program kerjasama strategik akademia-industri melalui inisiatif MyBrain15. Ketika ini, UTM juga merekodkan jumlah penerima Biasiswa MyBrain15 paling tinggi yang berjumlah seramai 3,542 orang.
  • Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dianugerahkan Anugerah Merdeka 2014 sekaligus menjadi individu kelima dari UTM yang mendapat pengiktirafan berprestij negara ini.
  • Dr. Norhayati Abdullah menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik Pengerusi, International Water Association – Young Water Professional (IWA-YWP) yang berpangkalan di Belanda.

Kejayaan-kejayaan di atas bukan sahaja meningkatkan imej dan status Universiti, bahkan turut memberi impak bahawa UTM merupakan universiti yang ulung di kalangan IPTA di Malaysia. Menjadi kebanggaan mahasiswa mencari ilmu dan sentiasa menjadi buruan di kalangan calon mahasiswa dan rebutan kepada stakeholders.

Lantaran dari kejayaan dan untuk lebih berdaya saing, Y. Bhg. Datuk Naib Canselor menambah “UTM kini sedang memasuki Fasa Kedua Pelan Global UTM 2020 yang bermula pada tahun 2015 – 2017 yang memberi penekanan kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi. Ia bukanlah suatu yang mudah, justeru komitmen semua pihak khususnya pengurusan universiti dan pihak-pihak berkepentingan untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan pelaksanaan setiap perancangan dapat dijayakan dengan sebaiknya dan mencapai matlamat yang diharapkan. Marilah kita bergerak sebagai satu pasukan, bermuafakat saling bantu-membantu dan memperkuatkan antara satu sama lain ibarat kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

 

Peningkatan dalam Kerjaya Pemangkin Semangat Sambung Belajar – Graduan UTMSPACE

GraduanUtmSpace

Hazman Hamdan

Johor Bahru, 2 November – Bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-53 Universiti Teknologi Malaysia, UTMSPACE turut meraikan kecemerlangan para graduannya melalui Majlis Anugerah Dekan dan Hadiah UTMSPACE yang diadakan di Dewan Kencanapuri, Pulai Spring Resort, Johor Bahru. Saudara Hazman Hamdan (39) dari Sibu, Sarawak merupakan salah seorang penerima Anugerah Dekan dan Hadiah Akademik UTMSPACE melahirkan rasa kesyukuran kerana telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains (Pengurusan Harta Tanah) dengan cemerlang.

Menurut pengurus di sebuah syarikat property consultant di Melaka ini, pengajian yang diambil kali ini merupakan ijazah kedua bagi beliau. Sebelum ini beliau telah mengambil ijazah pertama dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah pada tahun 1999. Beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajian bagi ijazah kedua ini berikutan dorongan kuat untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kredibiliti beliau dalam bidang tersebut. Selain itu, dengan adanya ijazah ini, dapat membantu beliau untuk mendapatkan lesen dalam bidang harta tanah dan sekaligus merealisasikan impian beliau untuk membuka syarikat sendiri.

Semasa proses untuk mencapai kejayaan ini, pembahagian masa antara kerja dan pelajaran serta disokong kuat pasangannya, Normalinda Mohd. Dahan banyak membantu. Di samping itu, kerjaya yang disandang sekarang banyak memudahkan pembelajaran beliau kerana pengalaman yang diperoleh semasa bekerja membantu dalam menjawab soalan dan membuat tugasan yang diberikan. Menurut beliau, berbeza dengan pelajar yang menduduki pengajian sepenuh masa di mana mereka hanya belajar teori tetapi bagi beliau yang mengambil pengajian separuh masa, kelebihan melalui praktikal yang dilakukan amat membantu dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan. Selain sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Dengan anugerah yang cemerlang ini beliau berharap agar segala impian dapat direalisasikan di samping peningkatan dalam kerjaya.

FESKO 53 – Kesepaduan Komuniti Papar Konsep keharmonian

FESKO53

Festival Konvo 53

Johor Bahru, 2 November – Festival Konvokesyen kali ke-53 UTM merupakan festival terbesar yang pernah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTM bagi meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Pengarah Pesta Konvokesyen ke-53, Saudara Muhammad Rafee bin Abdul Rask telah menyatakan bahawa Festival Konvokesyen kali ini dengan tema “Kesepaduan Komuniti” adalah bermatlamat memperkasa bakat mahasiswa dalam merencana dan melaksanakan program berimpak tinggi serta berskala besar melalui perancangan yang sistematik dan berinovasi. Ia juga manifestasi satu aktiviti penjenamaan semula dan transformasi kepada aspek budaya ilmu, aktiviti, keusahawanan dan agama bagi aktiviti mahasiswa.

FESKO 53 berlangsung selama tujuh hari dan dimeriahkan dengan pelbagai acara bermula dari 30 Oktober 2014. Antara aktiviti menarik yang diadakan sepanjang festival berlangsung ialah Malam Penghayatan Cinta Rasul dan gema Selawat bersama Ustaz Akhil Hayy, Malam Warisan Kita bersama Fynn Jamal, Forum Remembering Our Brothers – Palestine bersama Yatt Hamzah dan Cake Challenge bersama Fizo Omar. FESKO 53 juga kali ini menyaksikan slot tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang. Majlis perasmian yang dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hebat dari Azhar Hilmi, telah berjaya menarik ramai pengunjung untuk datang memenuhkan tapak pesta pada malam tersebut.

Sambutan yang menggalakkan setiap tahun daripada warga universiti dan masyarakat setempat telah mendorong jawatankuasa penganjurannya untuk terus komited menjadikan pesta ini sebagai program tahunan yang ‘harus’ dilaksanakan. Naib Canselor telah menyempurnakan gimik majlis perasmian FESKO 53 dengan menurunkan tandatangan pada belon berbentuk empat segi sebagai tanda bermulanya festival pada kali ini.

APA KATA MEREKA

“UTM adalah platfom terbaik untuk menimba ilmu dan bagi saya ilmu yang saya pelajari di sini merupakan ilmu yang memantapkan saya untuk memenuhi alam pekerjaan kelak. UTM owesome!”

Farahtul Adibah Muhammad Zainuddin, 24 (Perak)
Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan sumber Manusia

“Learning process is amazing and being part of a new culture is such a unique experience”

Shaban Senyange from Uganda (25)
Master of Science (Safety, Health and Environment)
Faculty of Chemical Engineering

“Saya amat mengagumi sistem pentadbiran UTM juga tenaga pengajar yang sentiasa membanting tulang menyokong dan membimbing saya”

Sivagami Vyapuri, 41 (Kluang, Johor)
Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran