+607 - 533 3197 / 2236 / 2300 / 2182 konvo@utm.my

INFO TERKINI KONVO ~ 26 SEPTEMBER 2011


GRADUAN KOMPETEN HARAPAN BANGSA

 

JOHOR BAHRU, 25 September – “Menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran sangat penting diberi perhatian untuk menyediakan diri menangani cabaran globalisasi yang berlaku pada masa ini. Sebagai contoh kemahiran berkomunikasi, berunding, berfikiran strategik dan lain-lain lagi. Pembelajaran sepanjang hayat ini sangat-sangat dituntut dan bersifat seumur hidup – dari buaian hingga ke liang lahad”. Saranan ini telah disampaikan oleh Y.Bhg. Pro Canselor, Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd. Nor semasa berucap di Majlis Konvokesyen kali ke 47 UTM yang lalu. Menurutnya lagi dalam suasana persaingan yang tinggi dibidang pekerjaan dewasa ini, graduan tidak harus berpada-pada dengan ijazah yang diperolehi. Walaubagaimanapun Y.Bhg. Tan Sri optimis dengan graduan ini, Òsaya nasihatkan supaya bersabar, sentiasa berfikiran positif kerana peluang bagi mereka yang berkelulusan Sains dan Teknologi seperti saudara-saudari sekalian tidak sukar memperolehi pekerjaan dengan terlaksananya pelbagai inisiatif transformasi Kerajaan. Apatah lagi saudara dan saudari adalah graduan UTM yang sentiasa konsisten dan berkualiti tinggiÓ. Graduan boleh berusaha menambah ilmu dengan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana peluang terbuka luas khasnya di UTM sendiri.

Menurut Y.Bhg. Tan Sri lagi, graduan dewasa ini adalah harapan bangsa dan Negara. Graduan pasca merdeka beruntung kerana pembangunan Negara begitu pesat. Walaubagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab semua untuk mempertahankan kemerdekaan ini. “Oleh itu, sebagai anak-anak yang dilahirkan selepas merdeka dan berpendidikan tinggi, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saudara-saudari untuk memastikan bahawa kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati selama ini terus menjadi milik kita untuk selama-lamanya. Biar apa pun, saya mengharapkan agar semua graduan UTM mempunyai semangat patriotik dan nasionalis yang tinggi terhadap negara kita”.


KEPELBAGAIAN MEWARNAI LANSKAP UNIVERSITI

 

JOHOR BAHRU, 25 September – Selepas lebih 26 tahun UTM beroperasi di Skudai, Johor; kini Universiti begitu banyak berubah. Perubahan ini samada dalam tatacara lanskapnya, bilangan warganya, kosmopolitan staf dan mahasiswanya serta bilangan programnya.

Dalam program yang ditawarkan di 14 fakulti, boleh dikatakan semuanya telah ada ditawarkan dari peringkat Ijazah Sarjana Muda hingga ke Ijazah Doktor Falsafah. Bahkan setiap fakulti itu sendiri ada beberapa jabatan yang menawarkan program mengikut kehendak pasaran. Mengikut perancangan dan telah pun dimulai, program baru yang kompetatif sedang giat disiapkan. Menurut Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Dr. Yahya bin Awang yang berucap di majlis Konvokesyen ke 47 UTM baru-baru ini, “UTM kini sedang mengorak langkah untuk menubuhkan sebuah Fakulti Perubatan. Penubuhan Fakulti Perubatan ini sudah tentu menjadi penyumbang kepada jumlah graduan dalam bidang perubatan yang diperlukan oleh negara. Seterusnya menjadi pemangkin kepada disiplin ilmu perubatan yang sentiasa aktif dengan penemuanpenemuan baru”.

Suasana kepelbagaian ini turut dilihat dalam identiti warga mahasiswa dan stafnya. Menurut data Universiti sehingga kini ada lebih 4,000 orang mahasiswanya terdiri dari bukan warganegara. Mereka samada dari Negara ASEAN mahupun Asia Barat. Seperti kata Y.Bhg. Pro-Canselor, Òsuasana tenang dan tenteram dan penuh keharmonian dengan kemasukan mahasiswa dan staf dari pelbagai negara luar yang begitu berbeza sekali latar belakang dan budayanya telah menjadi suasana baru yang begitu produktif di UTM. Ini merangsang warga kampus untuk belajar, melakukan kajian, berfikir dan berinovasi.

Yang boleh kita nampak juga dalam kepelbagaian ini ialah lanskap fizikalnya. Tahap pembangunan kampus UTM Johor Bahru kini jelas mencapai kemuncak pembangunan. Jika sebelum ini bangunan bertumpu sekitar kiri Lebuhraya Pontian-Johor Bahru, tetapi kini sudah berkembang jauh berhampiran Taman Universiti dan pusat pembangunan baru di tepi Lebuhraya Senai-Johor Bahru. Boleh dikatakan struktur lanskap UTM adalah projek Mega yang tersergam di Selatan Tanahair.


PENDEKATAN KONDUSIF WUJUDKAN TARIKAN

 

JOHOR BAHRU, 25 September – Tidak dinafikan bahawa persekitaran yang kondusif akan membantu suasana pembelajaran yang subur. Dewan kuliah yang sofistikated, kolej penginapan yang nyaman, persekitaran yang damai, kampus yang harmoni dan pensyarah yang berketrampilan merupakan faktor mendorong penjanaan intelektual dan kesarjanaan yang tinggi. Bagi menjadikan kampus Universiti mencapai standard tersebut, pihak pengurusan Universiti dari masa kesemasa berusaha dan merancang strategi supaya kemudahan ini dapat disedia dan digunakan dengan sempurna.

Y.Bhg. Dato’ Naib Canselor, Prof. Dr. Zaini bin Ujang berkata semasa berucap di Majlis Konvokesyen UTM ke 47, ” UTM juga turut berusaha menaik taraf kemudahan kampus terutamanya kemudahan makmal, memperindah persekitaran kampus dan menambah baik kemudahan rekreasi. Stadium dan kolam renang UTM yang telah siap dan beroperasi sejak April 2011″.

“Pihak Universiti juga dalam proses menaik taraf kemudahan asrama supaya lebih selesa dan berkualiti. Ketika ini ramai mahasiswa memerlukan kemudahan penginapan standard antarabangsa yang dilengkapi alat penghawa dingin, hot shower, wifi dan peti sejuk. Sehubungan itu, pihak Universiti akan membenarkan mahasiswa membuat pilihan sama ada tinggal di dalam atau di luar kampus, terutama bagi mahasiswa Ijazah Lanjutan atau yang telah berkeluarga”.

Sasaran bilangan bilik penginapan dalam kampus Johor Bahru akan dikurangkan kepada 15,000 orang berbanding dengan 17,000 orang pada masa ini. Pengurangan ini bermakna sebahagian bilik penginapan sedia ada akan dinaik taraf daripada dikongsi berdua, menjadi sebilik seorang dengan pelbagai kemudahan tambahan. Walau bagaimana pun, semua mahasiswa tahun pertama dan tahun akhir akan ditempatkan di dalam kampus. Polisi UTM ini dijangka bukan sahaja memenuhi keperluan mahasiswa untuk penginapan berkualiti, malah juga akan memberi kesan dan meningkatkan pasaran hartanah (property market) di sekitar kampus.

“UTM telah melancarkan Tabung Endowmen pada awal 2010. Inisiatif ini selari dengan hasrat UTM menjadi Autonomi Universiti menjelang tahun 2015. Tabung Endowmen bertujuan untuk menyediakan dana memajukan aktiviti akademik di UTM seperti penyediaan biasiswa berprestij, dana awal Kursi Profesor, penajaan makmal dan aktiviti akademik berimpak tinggi. Endowmen UTM akan mula digunakan untuk melaksanakan tiga program utama iaitu: Biasiswa endowmen sebanyak RM1 juta pada sesi akademik 2011/2012 kepada 100 orang mahasiswa sarjana muda bernilai RM10 ribu setahun; Penajaan 10 Kursi Profesor endowmen dengan perbelanjaan RM7 juta dalam tempoh tiga tahun; dan Program khas seperti makmal termaju, dewan kuliah ala-Harvard Business School dan geran penyelidikan RM4.5 juta dalam tempoh tiga tahun”.


CITA-CITA KE HARVARD MENJADI KENYATAAN MENERUSI PROGRAM “GLOBAL OUTREACH PROGRAMME”

 

Bagi Sara Chong Sung Ching, pelajar tahun ketiga Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia, beliau amat menghargai pengalaman pembelajaran di dalam dan luar kelas, interaksi dengan komuniti di samping pendedahan kepada pelbagai budaya akademik dan sosial sewaktu berada di Harvard University.

Sara adalah salah seorang dari lima mahasiswa terpilih yang dihantar ke Harvard University dalam inisiatif untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran mahasiswa UTM menerusi program mobiliti antarabangsa “UTM Global Outreach Programme”. Menurut Sara, UTM-Harvard “Global Outreach Programme” memberi peluang keemasan untuk memenuhi impian beliau belajar di universiti terulung dunia, Harvard University. Bagi beliau dan pelajar-pelajar lain, Tan Chin Chin, Nur Hidayah Abdul Shukor, Tham Kok Hui dan Ling Ting Yi, segala pengalaman yang dialami di Harvard merupakan satu titik noktah yang penuh bermakna dan memberi inspirasi dalam kehidupan mereka.

Setiap pelajar berpeluang mengambil matapelajaran yang berbeza. Sara mengambil kelas “Principles of Economics” bersama pelajar-pelajar Harvard University yang lain. Pelajar dikehendaki untuk memberi pendapat dan berinteraksi secara positif dalam kelas. Di samping itu, pelajar juga perlu terlibat dalam proses pembelajaran secara aktif dan lebih yakin dalam membuat keputusan. Persediaan untuk ke Boston mengajar beliau dan rakan-rakannya tentang pentingnya pengurusan masa dan perancangan yang rapi. Pengalaman yang dilalui oleh kelima-lima mahasiswa UTM patut menjadi perangsang untuk mahasiswa UTM yang lain agar mengambil peluang untuk menyertai ÒUTM Global Outreach Programme” dan lain-lain program mobiliti antarabangsa yang dianjurkan oleh universiti.


SPS IKTIRAF PELAJAR CEMERLANG

 

JOHOR BAHRU, 25 September – Buat julung kalinya, sebagai mengiktiraf kecemerlangan para graduan Pasca Siswazah dalam bidang masing-masing sama ada melalui penyelidikan mahupun pembelajaran, Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) telah mengadakan Anugerah Pelajar Terbaik Pasca Siswazah UTM 2011 sempena Majlis Konvokesyen ke 47 bertempat di Dewan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (CTL), UTM Johor Bahru. Seramai 74 orang graduan daripada 15 fakulti dan pusat kecemerlangan telah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Rose Alinda Alias, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS).

Menurut beliau, “kriteria pemilihan pelajar cemerlang adalah sangat ketat untuk memastikan integriti dan kualiti anugerah serta penerimanya. Kriteria pemilihan bergantung kepada cumulative point average (CPA) yang tinggi atau hasil keputusan viva voce bagi yang membuat penyelidikan. Selain itu, graduan yang menamatkan tempoh pengajian dalam tempoh minima akan turut diambil kira. Keutamaan turut diberi kepada graduan yang berjaya menerbitkan hasil penyelidikan sepanjang tempoh pengajian mereka.”

Daripada 74 orang graduan yang menerima anugerah tersebut, 22 orang ataupun tiga puluh peratus daripada mereka merupakan pelajar antarabangsa dari Iran, Yemen, Iraq, Libya, Nigeria dan lain-lain lagi. Ini jelas menunjukkan bahawa sambutan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti penyelidkan dan pendidikan Universiti Teknologi Malaysia semakin meningkat dan diiktiraf di mata dunia.


UTMSPACE – ANUGERAH SEBAGAI PEMANGKIN SEMANGAT KEPADA YANG BERKERJAYA

 

JOHOR BAHRU, 25 September – Sempena Konvokesyen UTM Ke 47, UTMSPACE mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Medal dan Anugerah UTMSPACE kepada graduan bertempat di Pulai Spring Resort, Johor Bahru.

Majlis ini adalah untuk meraikan saat kebanggaan dan kegembiraan para graduan cemerlang dan terbilang, UTM khususnya kepada graduan UTMSPACE. Untuk rekod sehingga kini UTMSPACE telah melahirkan seramai lebih 10,000 orang graduan dalam pelbagai bidang yang telah terbukti menjadi pemangkin kemajuan negara sebagai sumber modal insan yang berkualiti.

Seramai 241 orang graduan Program Pengajian Separuh Masa telah layak dianugerahkan dan 10 orang graduan telah diraikan atas kejayaan mereka mendapat kelas pertama, malah salah seorang daripada mereka telah dicalonkan untuk menerima Anugerah Naib Canselor UTM. Seramai 27 orang graduan yang mendapat PNGK 3.5 dan ke atas telah diraikan sebagai Penerima Anugerah Medal. UTMSPACE juga telah memberikan Hadiah Khas UTMSPACE kepada graduan dalam kategori adik beradik yang telah sama-sama berjaya menamatkan pengajian mereka.

Bagi pasangan adik-beradik, Norzuli Idayu binti Muharam,33 dan Mohd Hariz bin Muharam, 29 telah menerima Anugerah Khas UTMSPACE. Masing-masing yang telah mempunyai kerjaya sendiri telah menghabiskan masa selama 5 tahun untuk menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) manakala adiknya pula Sarjana Muda Sains (Komputer). Bagi Norzuli Idayu, beliau telah dianugerahkan 3 anugerah iaitu Anugerah Medal, Anugerah Hadiah Akademik UTMSPACE dan Hadiah Khas UTMSPACE. Hubungan adik-beradik yang sangat kuat membuktikan mereka dapat menghabiskan pengajian pada masa yang sama.

Manakala bagi ibu muda yang berusia 27 tahun iaitu Hazwathul Nadia binti Marshah, graduan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) yang berasal dari Kuala Lumpur ini telah menerima Anugerah Medal dan Anugerah Akademik UTMSPACE. Ibu berkerjaya ini bersyukur kerana dapat merealisasikan impian untuk menghabiskan pengajian dalam masa 3 tahun setengah. Dorongan kuat daripada ibu bapa, suami dan anak yang dikandungkan menjadi pemangkin semangat untuk beliau menghabiskan pengajian.

Penghargaan daripada UTMSPACE ini dapat menjadi pembakar semangat bagi graduan yang bekerjaya untuk menghabiskan pengajian mereka dengan lebih cemerlang.


HAMPIR 5,000 ORANG GRADUAN BERKONVOKESYEN KALI INI

 

JOHOR BAHRU, 25 September – Secara angkanya pada Majlis Konvokesyen UTM ke 47 ini seramai 4,946 orang graduan menerima anugerah masing-masing: 76 orang Ijazah Doktor Falsafah, 842 orang Ijazah Sarjana, 3,543 orang Ijazah Sarjana Muda, dan 485 orang Diploma. Dari jumlah tersebut, seramai 341 orang adalah graduan antarabangsa dari 26 buah negara.

Oleh kerana dalam setahun pihak Universiti mengadakan dua kali majlis Konvokesyen, jumlah graduan pada tahun ini adalah berjumlah 6,929 orang. Jumlah ini memang besar dan merupakan bilangan sumber tenaga manusia dibidang Sains dan Teknologi. Mengambil dari jumlah graduan ini seramai 652 orang iaitu 9.4% adalah graduan luar negara. Bilangan mereka ini juga menggambarkan bahawa program di UTM tetap mendapat perhatian dikalangan negara luar.


APA KATA MEREKA

 

“UTM was my choice to pursue my Master’s degree because it is renowned for providing good theory and practical education in Information Technology and Engineering.”
Mahdi Maktabdar, Master of Computer Science / Ijazah Sarjana Sains Komputer

“Saya bangga menjadi pelajar UTM, warga UTM kerana keindahan kampusnya serta pembangunan dan penyediaan kemudahan yang lengkap untuk para pelajar.”
Sakinah Abdullah, Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Industri & Organisasi)

“UTM mendapat pengiktirafan yang tinggi di tempat saya bekerja kerana mereka percaya graduan UTM adalah terlatih dan mempunyai standard yang tinggi dalam bidang kejuruteraan.”
Mahendran a/l Paramasuwom, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif)

“Siapa yang tidak kenal UTM? UTM merupakan universiti yang paling unggul dalam bidang kejuruteraan aeronautik. Sebab itu saya memilih untuk meneruskan pengajian sarjana saya di sini.”
Gunasegaran Ranesan, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik)

Last Updated on Wednesday, 28 September 2011 00:54