+607 - 533 3197 / 2236 / 2300 / 2182 konvo@utm.my

Info Terkini Konvo ~ 2 November 2014

Hormat dan Menghargai Guru Ciri Utama Keberkatan Ilmu

berita1

Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan Hj. Salleh, Pro- Canselor

Johor Bahru, 1 November – Setiap insan yang mempelajari sesuatu ilmu sudah tentu ingin mendapat manfaat serta keberkatan dari apa yang telah dipelajarinya. Seorang pesilat sudah tentu ingin mendapat manfaat mempertahankan diri dari ilmu silatnya. Seorang hafiz sudah tentu ingin mendapat keberkatan dari kelancaran dan hafazan yang diperoleh. Jadi, semua dari kita khususnya yang mendapat pengetahuan secara formal pada zaman ini, sememangnya ingin mendapat manfaat dan keberkatan apa yang telah dipelajari.

Seperti yang telah diutarakan oleh Yang Berhormat Pro- Canselor, Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan Hj. Salleh dalam ucapan konvokesyen kali ke-53 baru-baru ini, bahawa untuk mendapat keberkatan pembelajaran ilmu, kita haruslah menghormati dan menghargai orang sekeliling kita khasnya pensyarah, guru-guru dan ibu bapa kita khususnya yang secara tidak langsung merupakan guru pembelajaran sepanjang kehidupan. Dengan menghormati mereka, sudah tentu mereka ini akan merestui ilmu yang telah disampaikan dan mendoakan kita untuk terus berjaya dalam kehidupan. Berkat restu mereka juga membolehkan kita memanfaatkan ilmu-ilmu yang telah kita perolehi sama ada untuk kelangsungan diri, kerjaya mahupun membantu dalam pembangunan negara kita.

Kejayaan dalam profesion dan kepakaran juga adalah manifestasi dari keberkatan ilmu kita. Kalau kita berusaha di jalan yang betul dengan ilmu yang diperolehi serta berkat, sudah tentu kejayaan dalam hidup akan berganda. Yang Berhormat Pro-Canselor turut mengingatkan semua graduan agar menghormati pemimpin Universiti yang telah banyak berusaha membawa kemajuan Universiti hingga ke tahap hari ini. Usaha transformatif pemimpin-pemimpin ini telah menjadikan Universiti menjadi salah satu universiti terkemuka dalam bidang sains dan teknologi.

Dalam ucapan yang sama, Yang Berhormat Pro-Canselor turut berbangga dengan pencapaian UTM sebagai universiti penyelidikan di mana penarafan Universiti telah meningkat kepada aras 294 daripada tangga 355 tahun lepas serta menerajui pembangunan negeri Johor yang lestari dan pengurusan alam sekitar yang mampan. Antaranya termasuk pembangunan lestari ekopelancongan Endau Rompin, pembangunan bersepadu Lembangan Sungai Johor dan pengurusan Lestari Sisa Bandaran.

 

Graduan Berkualti Tetap Menjadi Perhatian Kerajaan dan Industri

berita2

Datuk Naib Canselor UTM

Johor Bahru, 1 November – Pihak stakeholders kini lebih cenderung untuk menilai calon pekerja dengan melihat kualiti seseorang graduan secara menyeluruh yang merangkumi aspek kebernasan pemikiran, kecekapan berkomunikasi, kejituan kepemimpinan, keupayaan berinovasi, mempunyai semangat entrepreneurial, ketinggian sahsiah serta mempunyai kesanggupan untuk terus belajar. Ini adalah antara intipati ucapan Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor UTM semasa menyampaikan ucapan konvokesyen baru-baru ini. Justeru itu, bagi menambah nilai graduan UTM beberapa usaha telah diambil, antaranya pendekatan Total Learning Experience, penubuhan UTM Technology Entrepreneurship Centre (UTMTEC), dan pemerkasaan UTM Center for Student Innovation (UTM CSI). Untuk pendedahan peringkat global dalam kalangan mahasiswa, pada tahun 2014 sahaja, seramai 1,323 mahasiswa UTM telah terlibat dalam pelbagai program Outbound Mobility ke serata dunia.

Sementara itu, pada tahun sama, seramai 2,480 mahasiswa pula telah terlibat dalam pelbagai program berbentuk khidmat komuniti dan pemindahan teknologi yang disasarkan bagi melahirkan mahasiswa yang cakna kepada keadaan dan realiti sebenar masyarakat. Menerusi perkongsian ilmu dan kepakaran dari UTM, inisiatif kesukarelawanan ini secara langsung telah membantu meningkatkan taraf sosioekonomi pelbagai lapisan masyarakat di dalam dan luar negara di mana aktiviti-aktiviti ini diadakan. Keterlibatan mereka itu adalah dalam beberapa siri program University Engagement & University Social Responsibilty.

Dalam ucapan yang sama, Datuk Naib Canselor turut merakam penghargaan kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Ir. (Dr.) Wan Abdul Rahman bin Hj. Wan Yaacob di atas pengurniaan Ijazah Kehormat kepada beliau.

 

Tan Sri Dato’ Ir. (Dr.) Wan Abdul Rahman bin Haji Wan Ya’acob Terima Ijazah Kehormat

Johor Bahru, 1 November – Seorang tokoh teknokrat, iaitu Tan Sri Dato’ Ir. (Dr.) Wan Abdul Rahman bin Haji Wan Ya’acob telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan bersempena Majlis Konvokesyen kali ke-53, UTM barubaru ini. Penganugerahan ini adalah sebagai menghargai sumbangan Y. Bhg. Tan Sri kepada universiti dan pembangunan negara amnya. Mengenai biodata pendidikan, beliau memperolehi Diploma dalam Kejuruteraan Awam dari Maktab Teknik, Kuala Lumpur pada tahun 1963, Diploma Kejuruteraan Awam dan Struktur dari Brighton College of Technology, United Kingdom pada tahun 1965 dan menghadiri Program Pengurusan Lanjutan dari Harvard Business School di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat pada tahun 1993.

berita3

Tan Sri Dato’ Ir. (Dr.) Wan Abdul Rahman bin Haji Wan Ya’acob

Dari segi profesion, Tan Sri Dato’ Ir. (Dr.) Wan Abdul Rahman mula berkhidmat di Jabatan Kerja Raya pada tahun 1964 dan merupakan Pengarah Besar dari tahun 1990 sehingga tahun 1996. Beliau adalah Pengarah dan Pengerusi tujuh syarikat kejuruteraan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur dan 10 syarikat swasta. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga kepada badan-badan kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Malaysian Standards and Accreditation Council, Lembaga Rayuan, Akta Arkitek Malaysia 1967, Ahli Tribunal Hakcipta, Akta Hak Cipta 1987 dan Pemegang Amanah Yayasan Telekom. Beliau turut terlibat dalam agensi kerajaan seperti Board of Trustees for Telekom Malaysia Foundation, Sultan Iskandar Institute and Malaysia Productivity Corporation, Canselor TATI University College dan Pengarah Yayasan Proton.

Selanjutnya, sumbangan lain beliau yang signifikan ialah Timbalan Presiden kepada KL Lawn Tennis Association dan Malay Cricket Association of Malaysia. Dilantik sebagai Independent Non-Executive Chairman/Director bagi Lysaght Galvanized Steel Bhd. mulai 2 Januari 1997. Mempengerusikan beberapa syarikat antaranya Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd, Malaysian Standard & Accreditation Council, The Road Engineering Association of Malaysia (REAM), IJM Corp. Bhd Northport (Malaysia) Berhad, Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim (KLBK) Sdn. Bhd., Mechanalysis Sdn. Bhd. dan Disitu Holdings Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan Independent Non-Executive Director kepada beberapa syarikat seperti Saujana Consolidated Berhad, NCB Holdings Bhd., Malaysian Industrial Development Finance Bhd., MMC Corporation Bhd. (sekarang dikenali sebagai Malaysia Mining Corp. Bhd., Pengarah Bank of America Malaysia Bhd., Sime UEP Properties Bhd., Powertek Berhad, syarikat Perumahan Pegawai-Pegawai Kerajaan Sdn Bhd dan PTRG (M) Sdn Bhd. Beliau juga dilantik sebagai Ahli Majlis Road Engineering Association of Asia & Australia (REAAA), mantan Presiden Institution of Highways and Transportation (Malaysia Branch) dan Ex-Officio member of the Institution of Highways and Transportation (Malaysia Branch) dan The Road Engineering Association of Malaysia (REAM). Beliau adalah Felo institusi-institusi berikut: Chartered Institute of Building (UK), Institut Lebuh Raya & Pengangkutan (UK), Institut Jurutera Awam (UK), Institut Jurutera Malaysia dan Akademi Sains Malaysia.

 

Dari Kota Bharu ke Malaysia Book of Records

Johor Bahru, 1 November – Tiada apa yang mustahil sekiranya apa sahaja kerja yang ingin dilakukan dilaksanakan dengan sikap positif dan keazaman yang tinggi. Begitulah situasi yang boleh digambarkan atas kecemerlangan Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim, yang berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records selaku graduan Ph.D. termuda di Malaysia.

berita4

Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim

Dr. Hazzirah Izzati, 24, merupakan salah seorang daripada graduan yang berjaya menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen UTM ke-53. Wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini telah meraih Ijazah Kedoktoran dalam bidang Matematik pada usia 24 tahun 2 bulan. Detik manis kejayaan anak kedua daripada 8 adik-beradik ini turut dikongsi bersama kedua ibu bapanya, Mat Hassim bin Daud dan Martiawati bte Salleh.

Kecemerlangan Dr. Hazzirah dalam bidang akademik telah bermula sejak zaman persekolahan lagi. Berbekalkan keputusan cemerlang dalam PMR and SPM, beliau ditawarkan untuk mengikuti kursus Praijazah di UTM selama enam bulan sebelum meneruskan pengajiannya dalam program Ijazah Sarjana Muda (Matematik). Tiga tahun kemudian, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Kelas Pertama pada usia 20 tahun. Beliau kemudiannya ditawarkan peluang untuk terus menyambung pengajiannya pada peringkat Ph.D. secara laluan pantas di UTM. Kegigihan dan perasaan tidak gentar menghadapi cabaran merupakan motto kejayaannya sehingga ke peringkat ini.

“Amalan yang paling penting adalah kita perlu berani untuk keluar daripada zon selesa. Saya sedar kita tidak akan ke mana-mana sekiranya masih terus berada di dalam zon selesa. Berbekalkan semangat yang tinggi, saya cuba mengambil keputusan yang berani untuk menyambung pengajian dalam bidang Ph.D,” katanya. Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang mengikuti pengajiannya, beliau bijak membahagikan masanya untuk terlibat dengan aktiviti yang lain. Dengan tersenyum beliau turut berkata “Hidup saya sama seperti orang lain. Saya menjalankan penyelidikan selama 8 jam sehari. Masih banyak lagi masa yang terluang untuk menjalankan aktiviti sosial bersama keluarga dan rakan-rakan saya.”

Kisah kejayaan Dr. Hazzirah dalam mengejar cita-citanya dalam usia yang muda wajar dijadikan pendorong untuk para mahasiswa yang lain agar terus gigih berusaha memburu kejayaan. Semoga lebih ramai lagi graduan muda bakal dilahirkan di Malaysia.