+607 - 533 3197 / 2236 / 2300 / 2182 konvo@utm.my

Info Terkini Konvo ~ 1 November 2014

Raptai Konvokesyen Ke-53 UTM Berjalan Lancar Bukti Komitmen Tinggi Pelbagai Pihak

Johor Bahru, 31 Oktober – Sesi raptai Konvokesyen di UTM kali ke-53 pada tahun ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan meriah dengan kehadiran bakal graduan. Seperti tahun-tahun sebelum, Lestari sekali lagi telah menjadi tema utama majlis konvokesyen kali ini. Jelas sekali, kehadiran dan komitmen daripada semua pihak dilihat sebagai faktor kejayaan sesi raptai tersebut.

raptai-konvo53

Raptai Konvokesyen Ke-53

Cik Hajah Najmah Shamsuddin selaku penyelaras konvokesyen bertanggungjawab memberi taklimat secara terperinci mengenai perjalanan majlis penganugerahan ijazah, khususnya pelaksanaan dan tatacara majlis yang akan berlangsung sebanyak lima sesi, iaitu 1 – 3 November 2014. Antara perkara yang diterangkan merangkumi pendaftaran graduan, perarakan, kod berpakaian, dan juga perkara berkaitan yang lain. Beliau juga menekankan keperluan mempamer pelekat kenderaan supaya memudahkan pihak keselamatan mengawal perjalanan lalu lintas sepanjang majlis berlangsung. Selain itu, pihak urus setia juga menasihatkan kepada para graduan yang kurang berkeupayaan dan memerlukan bantuan supaya memberitahu sekretariat konvokesyen untuk memudahkan pihak urus setia memberi pertolongan. Beliau turut menyatakan bahawa pihak jawatankuasa majlis konvokesyen berasa bangga dengan kehadiran dan komitmen yang telah diberikan kerana majlis ini merupakan majlis bersama dan semestinya akan menjadi kenangan kepada semua pihak yang terlibat.

Encik Azri Hohad pula menerangkan mengenai tatacara yang perlu dipatuhi oleh graduan apabila berada di atas pentas. Cara berjalan, memberi penghormatan dan ucapan yang wajar diungkapkan kepada penyampai anugerah adalah antara perkara yang amat ditekankan. Bagi memastikan kelancaran majlis, para petugas telah melaksanakan raptai penuh perjalanan majlis dengan lebih jelas kepada para graduan. Selain itu, pengambilan gambar graduan semasa majlis akan dilaksanakan oleh Kelab Fotokreatif UTM sama seperti beberapa tahun sebelum ini. Difahamkan, pihak urus setia konvokesyen telah mengambil inisiatif dan langkah proaktif dengan memastikan semua pihak yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing dengan memberikan kerjasama yang baik sepanjang majlis berlangsung.

Dapat disimpulkan bahawa inilah bukti keperihatinan dan komitmen yang tinggi yang telah diberikan oleh semua pihak sebagai usaha berterusan untuk memastikan majlis penganugerahan yang akan berlangsung dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Konvokesyen Ke-53 Tingkat Jumlah Graduan dan Kredibiliti UTM

Johor Bahru, 31 Oktober – Majlis Konvokesyen ke-53 Universiti Teknologi Malaysia bakal menyaksikan seramai 5,590 graduan dianugerahkan dengan ijazah masing-masing. Mereka terdiri daripada 201 Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,065 graduan Ijazah Sarjana, 2 graduan Diploma Lepasan Ijazah, 2,914 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 1,408 graduan Diploma. Daripada jumlah berkenaan, seramai 402 orang adalah graduan antarabangsa dari 31 buah negara. Difahamkan 295 orang daripada jumlah graduan antarabangsa yang bakal dianugerahkan adalah terdiri daripada lima buah negara yang mencatatkan jumlah penganugerahan yang tertinggi iaitu Iran, Iraq, Nigeria, China dan Indonesia. Graduan dari Iran masih mengekalkan kedudukan tertinggi dengan mencatat jumlah penerimaan penganugerahan seramai 146 orang, diikuti dengan graduan dari Iraq seramai 63 orang, 44 orang dari Nigeria, 22 orang dari China dan 20 orang dari Indonesia.

Majlis gilang-gemilang penganugerahan ijazah akan dilaksanakan dalam lima sesi penganugerahan bermula 1 – 3 November 2014 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Semestinya kejayaan yang dikecapi adalah hasil pelbagai pengorbanan dan komitmen yang jitu daripada setiap graduan. Peningkatan jumlah graduan pada majlis konvokesyen kali ini merupakan bukti nyata usaha konsisten UTM dalam melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing serta dinamik yang mampu menghadapi pelbagai rintangan era globalisasi dan terus maju selari dengan arus kemajuan sains dan teknologi masa kini.

Info Terkini Konvo mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan pada majlis konvokesyen kali ini. Diharap graduan yang dilahirkan dapat dijadikan model serta legasi kepada pembangunan pesat masyarakat dan Malaysia akan datang.

 

Sekilas Info

Jumlah graduan  dalam Majlis Konvokesyen ke-53 UTM mengikut peringkat pengajian adalah seperti berikut:

~ Ijazah Doktor Falsafah – 201
~ Ijazah Sarjana – 1,065
~ Diploma Lepasan Ijazah – 2
~ Ijazah Sarjana Muda – 2914
~ Diploma – 1,408

Jumlah Keseluruhan – 5,590

 

Apa Kata Mereka

“UTM has all the good facilities for the student to learn and doing research”

Hamama (36)
Faculty of Geoinformatic and real Estate

“UTM memberi saya banyak pengalaman pahit dan manis yang takkan saya lupakan. Saya amat berbanggga menuntut ilmu di UTM yang mempunyai kemudahan yang lengkap serta persekitaran kolej yang indah”

Nurul Jannah bt Mohd Nor, 21 (Kelantan)
Diploma Pengurusan Teknologi

“Bagi meningkatkan kemahiran, UTM memberi peluang kepada saya untuk lebih maju dan mengajar saya untuk memperluas profesion saya. Input yang diberikan amatlah berkesan dan saya mengagumi tenaga pengajar yang memberi bimbingan yang tidak terhingga.”

Ganas Acha, 48 (Kluang, Johor)
Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran